utama

6 kesalahan utama pengguna jalan raya

Oleh Mohd Firdaus Ibrahim

Pelbagai langkah penguatkuasaan dilaksanakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi mengurangkan kadar kemalangan di jalan raya khususnya pada musim perayaan.

Bagaimanapun, di sebalik pelbagai inisiatif yang diambil pihak berkuasa berkenaan nampaknya kadar kemalangan dan kematian tidak banyak berubah.

Persoalannya, adakah kegagalan penguatkuasaan ataupun sikap pengguna jalan raya itu sendiri menyebabkan masalah ini tidak dapat diselesaikan sepenuhnya.

Ikuti temu bual MOHD FIRDAUS IBRAHIM bersama Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman Senior Asisten Komisioner Sharul Othman Mansor untuk merungkai isu ini.

Kenapa kadar kemalangan masih tinggi biarpun pelbagai langkah penguatkuasaan ataupun kaedah digunakan PDRM bagi mengatasinya. Adakah mekanisme digunakan tidak betul atau di manakah salahnya?

Kadar kemalangan jalan raya di Malaysia yang masih tinggi disifatkan sebagai punca daripada sikap pengguna jalan raya itu sendiri. Sikap pengguna yang cuai merupakan faktor utama kadar kemalangan jalan raya di negara ini berada di tahap yang membimbangkan.

Selain itu, peningkatan jumlah kenderaan yang tidak sejajar dengan pembangunan infrastruktur jaringan jalan raya dikenal pasti sebagai antara punca utama kemalangan di Malaysia.

Boleh terangkan sikap pengguna jalan raya yang bagaimana menyebabkan berlakunya kemalangan?

Seperti saya terangkan tadi, saya melihat sikap pengguna jalan raya itu sendiri yang menyumbang kepada berlakunya kemalangan.

Sikap cuai yang saya maksudkan tadi seperti penggunaan telefon bimbit ketika memandu, minum air dan memandu melebihi kelajuan.

Boleh kongsikan punca atau faktor lain menyebabkan kemalangan?

Faktor terbabas sendiri dilihat sebagai punca utama kemalangan maut yang mana pada Op Selamat baru-baru ini mencatatkan sebanyak 82 kes daripada 208 kes keseluruhan. Faktor lain yang menjadi penyumbang utama kemalangan maut ialah masuk laluan bertentangan, cuba memotong kenderaan/tukar lorong, tidak perasan ada kenderaan lain, cuai keluar dan masuk simpang jalan, mengekori terlalu rapat kenderaan di hadapan, membuat pusingan U dan melawan aliran trafik.

Pada pendapat tuan, adakah Op Selamat mampu mendidik pengguna jalan raya supaya jadi berhemah, sekali gus mengurangkan kadar kemalangan di jalan raya terutama pada musim perayaan?

Penurunan jumlah kematian dalam Op Selamat 12 berbanding Op Selamat 10 dalam tempoh sama pada tahun lalu memberi gambaran bahawa usaha bersepadu pelbagai pihak dalam menangani isu kemalangan dan kematian di jalan raya sedikit sebanyak menampakkan hasilnya dan mampu mendidik pengguna jalan raya supaya lebih berhemah.

Pelaksanaan Op Selamat tidak boleh dipandang remeh oleh pengguna jalan raya dan orang ramai kerana operasi pemantauan dan penguatkuasaan itu mempunyai banyak kebaikannya selain usaha untuk menurunkan kadar kemalangan dan kematian.

Keberadaan anggota Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) di kawasan jalan raya dilihat memberi impak positif kepada pengguna jalan raya terutama dari faktor pemanduan. Adakah sebab mereka takut disaman ataupun ia petanda usaha polis ini hampir berjaya mendidik mereka?

Op Selamat penting sebagai usaha mendidik pengguna jalan raya agar berhemah di jalan raya. Setiap kesalahan akan dikenakan kompaun supaya kesalahan tidak berulang lagi dan menjadi pengajaran kepada pihak lain supaya tidak melakukan kesalahan di jalan raya.

Pendekatan penguatkuasaan masih menjadi sangat penting untuk menjadikan pengguna memahami bahawa jalan raya bukan untuk mereka saja, tetapi untuk orang lain juga.

Sikap mementingkan diri sendiri, tergesa-gesa tanpa mempedulikan keselamatan orang lain perlu dihindari dengan kaedah penguatkuasaan.

Apakah kesalahan sering dilakukan pengguna jalan raya mengundang kepada kemalangan?

Terdapat enam kesalahan utama yang sering dilakukan oleh pengguna jalan raya iaitu memandu melebihi had laju, memandu di lorong kecemasan, memotong di garisan berkembar, memotong barisan, tidak mematuhi lampu isyarat dan menggunakan alat telekomunikasi ketika memandu.

Pada musim perayaan pula, apakah kesalahan paling tinggi dilakukan pengguna jalan raya di seluruh negara?

Kesalahan yang paling tinggi dilakukan pengguna jalan raya ialah memandu melebihi had laju iaitu sebanyak 253,810 kesalahan sepanjang tempoh Op Selamat 12 Tahun Baru Cina 2018 (9 Februari 2018 hingga 23 Februari 2018).

Boleh kongsikan statistik kemalangan sepanjang Op Selamat 10/2017 dan Op Selamat 12/2018?

Rekod JSPT menunjukkan, Op Selamat 10/2017 mencatatkan 20,752 kemalangan di seluruh negara. Jumlah kemalangan maut yang direkodkan pula sebanyak 235 kes membabitkan 257 kematian.

Manakala, pada Op Selamat 12/2018 merekodkan kadar kemalangan sebanyak 21,041 yang mana jumlah kemalangan maut adalah 208 membabitkan jumlah kematian sebanyak 226.

Statistik bagi kedua-dua tempoh berkenaan jelas menunjukkan terdapat peningkatan sebanyak 289 jumlah kemalangan. Namun rekod menunjukkan berlaku penurunan kes kemalangan maut sebanyak 27 kes manakala 31 kematian bagi tempoh perbandingan itu.

Adakah pendekatan terbaru dipraktikkan dalam Op Selamat ini yang tidak digunakan tahun sebelumnya?

Penubuhan Unit Siasatan Lebuhraya (USLR) yang berperanan menjalankan siasatan bagi kes kemalangan ringan tanpa membabitkan kecederaan yang berlaku di lebuh raya selain bertindak sebagai pegawai penyiasat pertama di tempat kejadian yang menjalankan siasatan awal bagi kes kemalangan maut dan cedera parah sementara menunggu ketibaan pegawai penyiasat dari daerah yang berkaitan.

Unit Siasatan Lebuhraya meliputi kawasan Lebuhraya PLUS dari Jitra, Kedah (KM 24) hingga ke Johor Bahru sejauh 863.7 kilometer yang membabitkan lapan kontinjen iaitu Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.

Apakah pesanan JSPT kepada pengguna jalan raya supaya mengelakkan daripada terbabit kemalangan?

Pesanan saya adalah pengguna jalan raya perlu merancang perjalanan ke destinasi yang hendak dituju supaya tidak memandu dalam keadaan terburu-buru. Kesesakan lalu lintas akan mengakibatkan kita lebih mudah menjadi tertekan.

Keduanya, pastikan kenderaan anda sentiasa berada dalam keadaan terbaik dan semua kelengkapan keselamatan berfungsi dengan spesifikasi sepatutnya.

Ketiga pemandu perlu tidur dan rehat secukupnya bagi memastikan tidak mengantuk dan keletihan ketika memandu terutamanya pemanduan dalam jarak yang jauh.

Seterusnya, pengguna jalan raya perlulah memandu dengan kelajuan dibenarkan, mematuhi panduan keselamatan jalan raya, mematuhi arahan papan tanda serta tidak memotong di kawasan garisan berkembar dan kawasan yang tidak dibenarkan.

Pemandu juga perlu tanamkan sifat penyabar dan berhemah ketika di jalan raya manakala bagi golongan penunggang dan pembonceng motosikal pula, saya dinasihatkan supaya anda sentiasa menggunakan jaket keselamatan yang berwarna cerah serta dilengkapi dengan bahan pemantul cahaya bagi menambahkan darjah kebolehlihatan kepada pengguna lain di jalan raya terutama pada waktu malam.

Penunggang dan pembonceng motosikal juga perlulah memakai topi keledar dan mengikatnya dengan kemas bagi melindungi mereka daripada mengalami kecederaan di bahagian kepala.

Jika penggunaan topi keledar dengan betul dapat dibudayakan sebagai amalan harian, saya pasti kes cedera parah dan maut bagi golongan yang paling terdedah kepada risiko kemalangan ini akan dapat dikurangkan.

Kami (JSPT) juga berharap supaya pengguna jalan raya yang menaiki kereta tidak memandang ringan kepada pemakaian tali pinggang keledar depan dan belakang.

Pemakaian tali pinggang keledar ini adalah bertujuan meningkatkan tahap keselamatan jika berlakunya kemalangan. Perlu diingatkan bahawa apabila penumpang belakang tidak memakai tali keledar dan berlakunya perlanggaran pada kelajuan antara 50 kilometer (km) hingga 60 km sejam sekali pun, penumpang belakang akan terhumban ke hadapan dengan kekuatan 40 kali daripada berat badannya.

Oleh itu, penumpang belakang yang tidak memakai tali pinggang keledar boleh menjadi punca kecederaan parah atau kematian pemandu atau penumpang di hadapan.

Bagaimana pengguna jalan raya boleh membudayakan diri mereka sebagai pemandu berhemah?

Ada lima perkara boleh dipraktikkan masyarakat untuk menjadi pemandu ataupun pengguna berhemah iaitu pandang jauh ke hadapan, buang segala gangguan, mempunyai pelan keselamatan, kekalkan jarak selamat dan sentiasa peka dengan keadaan sekeliling.

Saya terangkan secara terperinci, pandang jauh ke hadapan bermaksud anda perlu melihat sejauh yang boleh ketika pemanduan. Mengetahui apa yang ada di hadapan akan membolehkan anda bersedia kepada perkara yang paling buruk. Ini membolehkan anda mengambil langkah pencegahan yang berkesan terhadap perkara luar jangka.

Keduanya, buang segala gangguan. Perhatian yang terganggu ketika memandu ialah yang paling bahaya kepada keselamatan pengguna jalan raya.

Menggunakan telefon, mendengar lagu atau makan kuih sekalipun adalah contoh kepada gangguan perhatian.

Walaupun sekadar ‘mengintai’ mesej telefon sekadar lima saat, pada kelajuan 90 km/jam jaraknya sama seperti anda memandu sepanjang padang bola tanpa melihat jalan. Saya tegaskan pemanduan sentiasa memerlukan perhatian penuh. Anda bukan saja perlu melihat jalan, tetapi juga perlu menjadi peka terhadap potensi bahaya di sekeliling anda.

Ketiga, mempunyai pelan keselamatan. Ini bermaksud, ketika memandu anda perlu memastikan kenderaan dalam keadaan yang boleh dilihat dengan jelas pemandu lain.

Anda juga perlu memberi isyarat kepada pemandu lain sebelum anda bertukar lorong atau membelok supaya pemandu lain boleh menjangkakan arah tuju pemanduan anda.

Selain itu, pastikan anda menghidupkan lampu apabila menjelang senja di dalam terowong ataupun ketika hujan. Amalkan ia sebaik berada dalam kawasan yang sumber cahayanya terhad.

Ini dapat mengelakkan pemandu lain dari bertembung dengan anda.

Keempat, kekalkan jarak selamat. Kebarangkalian amat tinggi untuk anda kemalangan ialah merempuh kenderaan di depan anda. Mengekalkan jarak selamat adalah cara yang paling mudah dan paling berkesan dalam pemanduan berhemah.

Ia juga sebenarnya adalah peraturan yang kerap diabaikan pemandu. Jarak selamat antara kenderaan akan memberikan anda masa yang secukupnya untuk bertindak balas.

Terakhir, sentiasa peka dengan keadaan sekeliling. Ketika memandu, pastikan mata anda sentiasa memerhatikan keadaan sekeliling melalui cermin sisi dan cermin pandang belakang.

Mata anda perlu sentiasa sensitif. Jika anda dapati ada pemandu yang agresif atau cuai, tingkatkan jarak, beri laluan atau berhenti perlahan-lahan ke tepi.

Selain itu, sentiasa peka akan kehadiran motosikal, basikal dan pejalan kaki.

Tingkatkan pemanduan secara berhati-hati pada hujung minggu, waktu pergi dan pulang sekolah atau cuti sekolah kerana kanak-kanak terdedah kepada bahaya jalan raya.

Disiarkan pada: March 18, 2018 @ 6:21am
d