utama

'Susahlah kami nanti'

Oleh Suzalina Halid

Alor Setar: Exco Wanita Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Suraya Yaacob meminta supaya Tunku Ismail Sultan Ibrahim tidak melepaskan jawatan sebagai presiden badan induk kebangsaan itu demi kepentingan pembangunan bola sepak wanita negara.

Suraya berkata, banyak perancangan yang ingin dilaksanakannya sepanjang tiga tahun di bawah pentadbiran Tunku Ismail demi memartabatkan skuad bola sepak wanita yang kini berada di tangga 75 dunia.

Justeru, beliau berkata, khidmat Tunku Ismail dalam FAM amat signifikan kerana kepakarannya diperlukan untuk membantu memberi pendedahan buat skuad yang kini dilatih bekas pengendali Majlis Sukan India Malaysia-Persatuan Bolasepak India Malaysia (MISC-MIFA), Jacob Joseph.

“Kita merayu supaya Tunku Ismail tidak melepaskan jawatannya berikutan unit bola sepak wanita masih memerlukan baginda kerana banyak perancangan yang ingin kita laksanakan di bawah pucuk pimpinan baginda.

“Ini kerana sejak Mac 2017 lalu, baginda banyak memberi galakan dan sokongan tinggi terhadap bola sepak wanita dan kami ingin memantapkan pasukan kebangsaan,” katanya semalam.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Tunku Ismail yang mahu meletakkan jawatan susulan kejatuhan ranking skuad kebangsaan.

Pada masa sama, Suraya berkata, di bawah jurulatih Jacob, pihaknya merancang untuk menghantar skuad bola sepak wanita bawah 16 tahun ke Indonesia bagi pertandingan AFC, Mei depan.

Beliau berkata, selain itu, skuad bawah 15 tahun pula akan ke Hong Kong dalam masa terdekat bagi menyertai kejohanan jemputan.

“Apa yang kita lakukan kini adalah untuk memberi pendedahan buat skuad bola sepak wanita yang kebanyakannya pemain baru. Hingga kini, kita mempunyai 15 pemain baru dan sedang mencari bakat lain untuk menguatkan lagi pasukan terutamanya ketika menentang lawan di dua perlawanan yang kita fokus sekarang,” katanya.

Selain itu, Suraya berkata, FAM juga akan menganjurkan Liga Bola Sepak Wanita Piala Tun Sharifah Rodziah pada Ogos ini atas persetujuan Tunku Ismail.

Katanya, Fifa Girls Soccer Grassroot di Stadium Mini Pendang juga akan dianjurkan Sabtu ini bagi mencungkil bakat baru.

“Pelbagai perancangan yang kita akan laksanakan dengan sasaran untuk menaikkan kedudukan sekurang-kurangnya di peringkat Asean... seperti kita tahu skuad negara menduduki tangga tercorot di Asean dan kita mahu sekurang-kurangnya pasukan ini berdiri sama kuat dengan negara lain.

“Justeru, dalam tempoh tiga tahun ini, sokongan daripada Tunku Ismail adalah amat penting bagi memastikan semua program yang kita rancangkan dapat direalisasikan,” katanya.

Disiarkan pada: March 22, 2018 @ 3:44am
d