utama

Garang tak bertempat

Oleh Mohd Zulkifli Zainuddin

Kota Bharu: Perselisihan faham menyebabkan seorang pengawal keselamatan menumbuk muka dan memijak lelaki orang kurang upaya (OKU) di sebuah pasar raya di Tumpat, Isnin lalu.

Perbuatan lelaki berusia 26 tahun itu berjaya dirakam kamera litar tertutup (CCTV) sebelum ia dimuat naik ke media sosial sehingga tular sejak pagi semalam.

Rakaman berdurasi satu minit 12 saat itu menunjukkan mangsa yang berusia 42 tahun ditumbuk di muka sehingga jatuh sebelum dipijak di dada oleh pengawal keselamatan terbabit.

Ketua Polis Daerah Tumpat Superintendan Ab Rashid Mat Daud berkata, pihaknya sudah menahan suspek kelmarin sejurus menerima laporan mengenai kejadian berkenaan.

Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa yang juga pekerja di pasar raya yang sama berselisih faham dengan suspek sebelum itu.

“Kejadian itu berlaku jam 6.24 petang apabila pengawal keselamatan berkenaan dikatakan tidak ‘berlaga angin’ (selisih faham) dengan mangsa dan menumbuknya di muka sehingga mangsa tidak sedarkan diri.

“Kita dapati rakaman CCTV kes itu tular di media sosial hari ini (semalam), tetapi kes berkenaan berlaku pada Isnin lalu.

“Terdapat kesan tumbukan dan darah di muka mangsa, manakala di belakang kepala pula mengalami bengkak akibat hentakan ketika terjatuh di lantai.

“Mangsa yang dibawa ke Hospital Tumpat ketika ini masih menerima rawatan di pusat perubatan berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, suspek direman empat hari untuk siasatan mengikut Seksyen 323/506 Kanun Keseksaan kerana sengaja mendatangkan kecederaan.

Disiarkan pada: March 22, 2018 @ 6:34am
d