utama

Wany mahu beri impak positif

Oleh Ardini Sophia Sina

Wany Hasrita cukup disenangi kerana sikapnya yang merendah diri dan mudah didekati peminat.

Malah, sikapnya yang bersahaja dan selalu cuba menyenangkan semua pihak patut mendapat pujian.

Bagaimanapun, penyanyi jelita berusia 25 tahun ini tidak terkecuali daripada menjadi mangsa kecaman dan kritikan netizen.

Lumrah bagi selebriti yang setiap inci pergerakan akan menjadi perhatian dan menanti masa untuk ‘menembak’ penyanyi lagu Rintihan Rindu itu.

Sejujurnya, Wany mengaku keterbatasan yang dirasainya sejak bergelar artis adalah sangat tinggi.

Katanya, dia perlu berhati-hati dalam tingkah laku, namun masih menjadi diri sendiri.

“Alhamdulillah, ada yang dapat menerima diri saya seadanya dan ada sebaliknya. Saya akui, sebagai selebriti memang ada keterbatasan sama ada dalam gerak-geri, pemakaian mahupun perkongsian di laman sosial.

“Saya jarang memuat naik gambar bersifat peribadi. Di situ, saya cuma muat naik gambar berkaitan kerjaya. Selalunya saya akan kongsi di Insta Story. Itu pun saya akan pilih juga apa yang mahu ditunjukkan kepada peminat terutama berkaitan rakan lelaki.

“Sejak melalui beberapa insiden, saya belajar berhati-hati dan memilih setiap gambar untuk dikongsikan. Saya sedar, ada yang sentiasa menunggu untuk memberikan komen negatif,” katanya.

Menurutnya, dia tidak pernah kisah dengan individu yang mengikuti perkembangannya di laman sosial hanya kerana ingin mencari keburukannya, namun bimbang jika ada perkara yang tanpa sedar menjadi contoh kepada orang lain.

“Saya tidak kisah mereka yang hanya ingin mencari kesilapan, tetapi ada segelintir pengikut di laman sosial mungkin menjadikan saya contoh atau inspirasi mereka.

“Saya bimbang akan memberikan teladan kurang baik kepada mereka. Saya sedaya-upaya cuba menjadi individu yang memberikan impak positif dalam diri mereka,” katanya.

Baru-baru ini, Wany menjadi bualan dan dikecam kerana memuat naik gambar dia memakai kemeja-T putih dengan tudung tidak menutup dada.

Menurut Wany, sesi penggambaran itu bagi mempromosikan baju raya yang bakal dilancarkan sempena Aidilfitri depan.

Mengakui kekhilafan diri, wanita itu menjelaskan dia tidak ada pilihan selain terpaksa berkongsi gambar itu.

Wany turut mengucapkan terima kasih atas teguran dan ingatan daripada peminatnya.

“Saya akui, itu adalah salah saya kerana tidak memikirkan perkara seperti ini. Saya menaikkan tudung ke atas kerana tulisan pada baju tidak kelihatan. Ia adalah promosi koleksi baju raya yang bakal dilancarkan tidak lama lagi.

“Tidak ada mana-mana pihak yang patut dipersalahkan dalam hal ini kecuali diri saya sendiri. Saya minta maaf atas kesilapan itu dan terima kasih kerana memberikan teguran dan saling mengingatkan.

“Saya juga mengaku pendirian saya masih goyah dan tidak istiqamah. Apabila diberitahu tulisan itu tidak kelihatan maka saya pun mengikut saranan untuk naikkan tudung. Apa-apa pun, kesilapan itu memang daripada saya sendiri,” katanya.

Disiarkan pada: March 23, 2018 @ 2:18am
d