utama

Ajal bayi lelaki dalam kolam

Oleh Nor Raidah Awang

BAYI lelaki ditemui lemas dalam kolam di sebuah klinik kesihatan di Taiping, malam semalam dipercayai terjatuh ketika ditinggalkan bersama kakaknya dan rakan bapanya di kawasan itu.

Dalam kejadian pada 7.45 malam, mangsa Dong Show Kang, 18 bulan, ditemui terapung dalam kolam itu oleh bapanya, 40, yang hanya menyedari kehilangan anaknya selepas pulang dari tandas.

Ketua Polis Daerah Taiping Asisten Komisioner Mohamad Taib berkata, pihaknya menerima maklumat pada 9.36 malam daripada pihak klinik kesihatan itu memaklumkan terdapat bayi jatuh ke dalam kolam di situ.

“Siasatan dijalankan mendapati seorang lelaki membawa bayi lelakinya dan anak perempuan berusia lima tahun ke kawasan kolam berkenaan bersama seorang rakan lelaki.

“Mereka dikatakan ke kawasan kolam berkenaan untuk bermain-main di situ dan pada jam 9 malam lelaki itu pergi membuang air kecil.

“Sekembalinya dari tandas, lelaki itu mendapati bayi lelakinya hilang manakala anak perempuannya ada berhampiran kolam," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, mangsa kemudian ditemui terapung dalam kolam berkenaan dan disahkan meninggal dunia oleh doktor di klinik terbabit.

“Bapa mangsa yang bekerja sebagai pemasang jubin dan rakannya yang berada di lokasi kejadian sudah ditahan bagi membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana cuai,” katanya.

Sementara itu, ibu mangsa Lee Shell Loo berkata, suaminya membawa dua anak mereka ke kawasan klinik berkenaan untuk bermain-main pada 7 malam.

“Lebih kurang 8 malam, suami saya sedar kehilangan anak bongsu kami, dan dia bersama orang ramai mencarinya di kawasan sekeliling klinik tetapi tidak jumpa.

“Mayat anak saya kemudian dijumpai dalam kolam," katanya yang enggan mengulas lanjut kerana terlalu sedih.

Disiarkan pada: March 23, 2018 @ 6:44pm
d