utama

Dua kru kapal korek ditemui selamat [METROTV]

Oleh Badrul Kamal Zakaria dan Mohamad Fahd Rahmat

DUA daripada 14 kru kapal korek JBB Rong Chang 8 yang terbalik di perairan Parit Jawa, Muar, pagi kelmarin diselamatkan pasukan penyelam dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR).

Mangsa sebelum itu sudah terperangkap untuk tempoh kira-kira 55 jam di dalam badan kapal berkenaan.

Kedua-dua kru lelaki warga China yang belum dikenal pasti identiti itu, masing-masing ditemui pasukan penyelam di bilik enjin kapal terbabit dalam keadaan terapung kerana digenangi air, tetapi mempunyai ruang udara mencukupi untuk bernafas.

Timbalan Pengarah Maritim (Operasi) Maritim Malaysia Wilayah Selatan Kapten Sanifah Yusof berkata, operasi hari ketiga yang juga fasa kritikal berjaya menyelamatkan dua kru kapal terbabit.

“Kita berjaya mengeluarkan mangsa pertama dan dibawa ke atas kira-kira 2 petang tadi, manakala mangsa kedua kira-kira setengah jam kemudian.

“Pasukan Paramedik kemudian membuat pemeriksaan awal dan mereka dibawa ke Jeti Nelayan Parit Jawa sebelum dihantar ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) untuk tindakan lanjut.

“Kedua-dua mangsa ditemui di kawasan bilik enjin yang sama iaitu dek keempat di bawah kapal dan terapung dalam bahagian ruangan berkenaan. Masih terdapat ruang udara untuk bernafas dan bertahan,” katanya pada sidang media di pusat operasi SAR di Pantai Leka, Parit Jawa, Muar, hari ini.

Katanya, kedua-dua mangsa dalam keadaan lemah kerana berendam tetapi dilaporkan stabil dan pihaknya berusaha menyelamatkan 12 mangsa lain.

“Operasi menyelam masih diteruskan dan kita melakukan pemeriksaan di ruang lain selain bilik enjin. Kita berharap dan percaya mangsa lain masih selamat cuma takdir menentukan.

“Selain itu, kami tidak menolak kemungkinan akan menemui mangsa lain berdasarkan bunyi ketukan pada dinding kapal yang masih kedengaran.

Kita membuat pemeriksaan bunyi ketukan di bahagian lain kerana kapal itu luas.

“Selain itu, kami juga mendengar bunyi ketukan di tempat lain tetapi disebabkan kapal ini besar kadangkala bila kita ketuk akan bergema,” katanya.

Menurutnya, berikutan penemuan positif itu, pihaknya yakin pilihan menggunakan penyelam adalah kaedah terbaik berbanding menebuk dinding kapal.

“Kami sentiasa mengepam udara ke dalam kapal dan kita tidak tebuk dinding kapal, buat masa ini kami hanya menggunakan pilihan pertama untuk menyelam ke dalam kapal,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Kesihatan Daerah Muar Dr Noorhaida Ujang berkata, mengikut laporan paramedik keadaan mangsa stabil tetapi lemah disebabkan dehidrasi (kehilangan air dalam badan) dan berada dalam air melebihi 48 jam.

Berita berkaitan

'Berharap ada sinar hari ini'

Tunda kapal korek ke permukaan cetek [METROTV]

Semoga Aca selamat [METROTV]

[UPDATE] 50 anggota cari kru hilang [METROTV]

1 lemas, 14 hilang

Disiarkan pada: March 23, 2018 @ 7:59pm
d