utama

'Mini, pengubat rindu buat isteri...'

Oleh Yusmizal Dolah Aling

RINDU yang tidak terpadam menyebabkan Mohamad Shah Rizad Mohamed Tahawin sanggup membeli kereta mini klasik bagi mengimbau impian arwah isterinya yang teringin menikmati waktu senggang bersiar-siar bersamanya dan anak menaiki kenderaan berkenaan.

Nostalgia arwah isteri juga menyebabkan duda berkenaan sangat sayangkan kenderaan klasik itu yang hanya dapat dimiliki selepas isterinya meninggal dunia hingga mengungkapkan kereta itu ‘miniku biniku’.

Mohamad Shah Rizad, 37, berkata arwah isterinya, Siti Norhayati Ramli meninggal dunia ketika usianya 29 tahun pada awal 2010 iaitu 24 jam selepas melahirkan anak tunggal mereka, Mesaya Kirana yang kini berusia sembilan tahun.

Menurutnya, selang hampir setahun selepas peristiwa menyedihkan itu, dia teringat niat arwah yang mengimpikan kereta mini untuk membawa anak mereka bersiar-siar.

“Sebab itu, apabila tengok kereta mini ini memang saya akui dan selalu saya cerita dengan rakan rapat bahawa ‘Mini is my bini’.

“Antara faktor saya membeli kereta mini pun sebab minat arwah isteri. Kebetulan satu ketika tengah naik motosikal ternampak ada sebiji mini lalu.

“Dia tanya saya ‘Bang ini kereta Mr Bean kan? Saya jawab ini kereta mini.

“Eh comellah, katanya. Saya tanya dia minat ke? Dia kata minat sebab comel, kecil dan cantik. Saya beritahunya kalau minat bolehlah cari.

“Masa itu simpan dulu niat dan simpan duit. Hajat dia tidak kesampaian namun sekurang-kurangnya anak kami dapat naik kereta mini seperti hasrat arwah itu,” katanya.

Kereta Austin Moris 1967 yang dibelinya dengan harga RM12,000 sudah dibaik pulih termasuk kerja mencantikkan serta meningkatkan prestasi enjin dengan kos mencecah RM15,000.

Mohamad Shah Rizad yang bekerja sebagai penghantar surat saman di sebuah firma guaman itu berkata, sekiranya dia ada jodoh lagi sudah semestinya wanita berkenaan perlu memahami minat mendalamnya terhadap kenderaan klasik miliknya itu.

“Andainya ada jodoh lagi, tetap ada perasaan ‘Mini is my bini’. Kena beritahu wanita itu mengenai perkara ini.

“Jika rakan naik mini saya, tutup pintu kuat pun saya terasa. Saya terpaksa nasihatkan supaya lembut sikit tutup pintu itu.

“Saya rasa peminat kenderaan klasik memang ada perasaan macam ini,” katanya.

Selain memenuhi hasrat isterinya, Mohamad Shah Rizad berkata, dia mula jatuh cinta dengan kereta mini sebab mula belajar membawa kenderaan adalah dengan memandu kereta model Mini Clubman milik arwah bapanya Mohamed Tahawin Mat Nuri.

Kereta itu katanya, dijual arwah bapanya ketika dia masih bersekolah dan tidak membantah keputusan berkenaan walaupun sangat sayangkan kereta terbabit.

“Masih ingat lagi ketika saya darjah enam, kali pertama membawa kereta ialah Mini Clubman itulah. ‘Papa nak ajar kamu bawa kereta’...masih teringat lagi ajakan ayah waktu itu,” katanya yang menyimpan wang dan tekad untuk turut memiliki Mini Clubman, kelak.

Disiarkan pada: March 23, 2018 @ 11:13pm
d