utama

Rancang serang rumah ibadat, bunuh polis

Oleh Mohd Azam Shah Yaacob

TUJUH lelaki disyaki terbabit kumpulan pengganas yang merancang untuk melancarkan serangan di negara ini ditahan Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun dalam satu kenyataan hari ini berkata, tangkapan tujuh lelaki itu dibuat antara 27 Februari hingga 15 Mac lalu dalam serbuan di Johor dan Sabah.

Katanya, tangkapan di Johor membabitkan enam suspek lelaki tempatan dipercayai dari sel kumpulan pengganas Daish yang merancang untuk melancarkan serangan di rumah ibadat bukan Islam selain perancangan untuk menculik serta membunuh anggota polis.

"Tangkapan pertama di Johor membabitkan tiga lelaki berusia antara 30 hingga 49 tahun.

"Seorang daripadanya iaitu lelaki berusia 49 yang bekerja sebagai juruteknik syarikat swasta adalah perancang utama rancangan serangan itu, manakala suspek kedua berusia 49 tahun bekerja sebagai pengawal keselamatan berperanan sebagai penasihat sel kumpulan itu dan sebagai penjaga rahsia semua aktiviti mereka.

"Sementara itu suspek ketiga berusia 30 tahun bekerja sebagai pengawal keselamatan berperanan mengurus pembelian senjata api dari negara jiran dan membuat tugas meninjau sasaran serangan sekitar Johor," katanya.

Menurut Mohamad Fuzi, kesemua mereka merancang untuk melarikan diri ke negara jiran bagi mendapatkan perlindungan dengan kumpulan penggans sebaik berjaya melancarkan serangan.

Susulan itu, Mohamad Fuzi berkata, PDRM melancarkan operasi susulan antara 28 Februari hingga 1 Mac yang membawa kepada tangkapan tiga lagi suspek dari kumpulan yang sama.

"Tangkapan pada 28 Februari membabitkan suspek keempat berusia 25 tahun dan bekerja sebagai pelayan kafe. Suspek menerima arahan daripada suspek pertama untuk menculik serta membunuh anggota polis.

"Tangkapan seterusnya adalah pada 1 Mac lalu membabitkan dua suspek bekerja sebagai tukang cuci di Singapura.

"Seorang daripadanya yang berusia 23 tahun bertindak sebagai orang perantaraan dalam urusan jual beli senjata api serta rakan sekerjanya berusia 22 tahun ditahan bagi membantu siasatan," katanya.

Mohamaf Fuzi berkata, dalam operasi di Sabah pada 15 Mac lalu, PDRM berjaya menangkap seorang lelaki warganegara Filipina berusia 31 tahun yang juga anggota kumpulan Abu Sayyaf.

Katanya, suspek adalah anggota kanan kepada Furuji Indama iaitu ketua kumpulan Abu Sayyaf Group di Basilan Selatan dan pakar menghasilkan bahan letupan IED.

"Suspek mempunyai hubungan dengan Dr Mahmud Ahmad iaitu rakyat Malaysia yang menyertai Daish di selatan Filipina dan disenarai sebagai orang dikehendaki pihak berkuasa Filipina kerana terbabit kes Penculikan Untuk Wang Tebusan (KFR) selain beberapa siri cubaan bunuh

"Suspek juga merancang untuk melancarkan serangan di Sabah serta menjadikan Sabah sebagai lokasi persembunyian atau Safe Haven bagi pengganas dari Filipina," katanya.

Beliau berkata, kesemua suspek ditangkap kerana disyaki melakukan kesalahan berkaitan keganasan, Kanun Keseksaan (Akta 574) serta disiasat mengikut prosedur Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Akta 747).

Disiarkan pada: March 24, 2018 @ 6:04pm
d