utama

Tak mahu goyang kaki

Oleh Sudirman Mohd Tahir

Sejak berkahwin dua tahun lalu, pelakon kacak Saharul Ridzwan mengakui dia tidak boleh sekadar duduk goyang kaki dan menunggu tawaran berlakon datang.

Sebaliknya, Saharul, 29, perlu menggandakan kerja kerana tidak sahaja hidup berdua dengan isteri, juga perlu membesarkan anak, Muhamad Luth Ali yang kini berusia sembilan bulan.

Malah, Saharul yang popular menerusi drama Kau Aku Kita menitikberatkan soal didikan anak dan cara mengawal keluarga.

“Sudah semestinya selepas berkahwin dan memiliki anak, keutamaan saya dengan keluarga.

“Pada masa sama, saya kena bekerja dan mencari nafkah. Jadi, dua perkara ini perlu diseimbangkan. Apabila ada keluarga sendiri, saya tidak boleh duduk bersenang-lenang saja.

“Saya kena gandakan kerja. Disebabkan itu, selain berlakon saya juga ada perniagaan.

“Sebagai ketua keluarga tidak ada istilah bebanan yang perlu ditanggung. Kalau dulu hanya berdua dengan isteri, sekarang sudah ada anak.

“Dalam soal tanggungjawab juga, bukan saja nafkah perlu disediakan, tetapi sejauh mana didikan untuk anak dan cara mengawal keluarga.

“Apa saya cuba buat sekarang adalah ubah diri sendiri. Orang kata, anak adalah refleksi daripada bapa. Jadi, saya cuba untuk jadi yang lebih baik,” katanya.

Disebabkan itu, Saharul menepis persepsi segelintir pihak yang beranggapan selepas berkahwin tawaran berlakon kurang.

Tidak mahu membangga diri atau bercakap besar, Saharul apa dilalui sekarang adalah bukti rezeki Allah tidak pernah putus.

“Dalam soal ini, kalau ada yang berkata tidak ada rezeki atau susah nak dapat rezeki selepas kahwin, dia memang tipu.

“Selepas berkahwin dan ada anak, rezeki kami sekeluarga datang dalam pelbagai bentuk. Jadi, saya tidak bersetuju dengan tanggapan segelintir pihak,” katanya.

Pada masa sama, Saharul berkata, sejak berkahwin dia tidak pernah mengehadkan waktu bekerja.

Dia cuba melunaskan semua komitmen yang sudah dipersetujui bagi mengelakkan sebarang masalah.

“Saya tidak pernah mengehadkan waktu bekerja. Cuma, saya akan bercuti sekejap kalau sudah selesai penggambaran. Selepas itu, baru saya sambung dan fokus drama lain. Saya akan pastikan ada masa untuk keluarga.

“Dulu ketika bujang, saya memang susah nak rehat. Boleh dikatakan saya berlakon tanpa henti. Habis satu drama, saya sambung drama lain pula. Tetapi sekarang, tidak lagi. Apa yang penting adalah bijak atur masa dan ‘work smart’,” katanya.

Jadi lebih matang

Bercerita mengenai keadaan kini bergelar bapa, Saharul dengan nada yakin akui perubahan paling ketara dia lebih matang dalam berfikir.

“Tidak banyak yang berubah cuma paling ketara dari segi pemikiran dan tanggungjawab.

“Saya tetapkan dalam fikiran, saya perlu bekerja sebab nak tanggung keluarga bagi memastikan mereka cukup makan dan pakai.

“Soal lain, saya masih sama. Namun, apabila sudah berada pada tahap sekarang iaitu mempunyai keluarga sendiri, mereka adalah segala-galanya. Setiap apa dilakukan, keluarga nombor satu,” katanya.

Namun begitu, jika membabitkan komitmen kerja, Saharul jadi lebih fokus.

Dia tidak mahu menjadikan isteri dan anak alasan untuk mengelak daripada melakukan sesuatu perkara yang sudah dipersetujui lebih awal.

“Sebagai contoh jika membabitkan penggambaran di luar Kuala Lumpur. Ali sudah berusia sembilan bulan, jadi tidak ralat sangat jika saya tinggalkan.

Sebelum ini saya pernah juga bekerja di luar Kuala Lumpur selama seminggu.

“Zaman sekarang serba canggih. Sepanjang tempoh itu saya akan membuat panggilan video kepada isteri. Pada masa sama, isteri akan menghantar gambar anak. Jadi, tidak timbul sebarang masalah,” katanya.

Ditanya mengenai kebangkitan hero baru, Saharul menganggap ia perkembangan positif dalam industri hiburan tempatan.

“Perkara ini agak besar. Kemunculan ramai hero baru sesuatu yang bagus. Cuma, cara bagaimana nak kekal dalam bidang ini. Apa saya lakukan adalah dengan menjaga kualiti lakonan.

“Macam sekarang pun, saya masih belajar teknik lakonan betul daripada Zulhuzaimi. Saya tidak mahu bergantung pada populariti semata-mata kerana ia tidak berkekalan.

“Pendek kata, menjaga kualiti lakonan adalah jaminan untuk saya kekal dalam bidang ini,” katanya.

Disiarkan pada: March 25, 2018 @ 4:15am
d