utama

'Rupanya Hafizh ambil wang untuk tunggang motosikal' [METROTV]

Oleh Syazwan Msar

Bintangnya kian menyinar di persada sukan permotoran negara apabila penampilan sulung Hafizh Syahrin Abdullah mengejutkan ramai pihak, malah dikagumi pelumba antarabangsa lain ketika melihat kehebatan dan kemahiran anak muda itu mengendalikan jentera dalam kelas MotoGP.

Tidak keterlaluan jika dikatakan Hafizh Syahrin bakal menjadi pelumba MotoGP berpotensi untuk menaiki podium suatu masa nanti apabila baru-baru ini amal muda berusia 24 tahun ini berjaya menghabiskan perlumbaan pada Grand Prix Qatar pada kedudukan ke 14, sekali gus menjadi antara pendatang baru yang berjaya tiba ke garis penamat.

Ironinya, ramai yang tidak mengetahui kisah kehidupan Hafizh Syahrin, bahkan namanya sebelum ini tidak pernah dikenali rakyat Malaysia sebelum secara tiba-tiba menjadi sebutan semua.

Kejayaan demi kejayaan yang dikecapi sejak zaman kanak-kanak lagi sudah menunjukkan pelumba berkenaan mempunyai bakat yang suatu masa nanti akan menggegarkan industri permotoran negara.

Di sebalik kejayaan anak muda berkenaan terdapat seorang individu yang menjadi pencetus kepada kejayaan pelumba berkenaan untuk terus meningkat naik.

Individu berkenaan adalah ayahnya iaitu Abdullah Harun yang berperanan mengesan seterusnya mengembang lagi bakat dimiliki Hafizh Syahrin dan terus menggilapnya untuk menjadi seorang pelumba profesional.

Ikuti temu bual wartawan SYAZWAN MSAR bersama Abdullah untuk berkongsi pengalaman dalam melahirkan pelumba motosikal MotoGP kebanggaan Malaysia.

Boleh kongsikan bagaimana boleh menyedari bahawa Hafizh Syahrin mempunyai bakat dalam sukan permotoran?

Jika diikutkan bakat Hafizh Syahrin mula dikesan sejak berusia lapan tahun apabila dia sering berkunjung ke sebuah pusat beli-belah seorang diri untuk mencuba motosikal mini yang dikendalikan seorang peniaga lelaki.

Perkara berkenaan terbongkar apabila dia mengajak saya ke sana dan rata-rata pengunjung dan pemilik tempat berkenaan mengenalinya kerana pandai mengendalikan kenderaan terbabit.

Namun, perkara yang menjadi persoalan bagaimana dia mempunyai wang untuk menyewa motosikal terbabit dan diselidik rupanya dia sering mengambil wang di dompet saya tanpa pengetahuan semata-mata mahu menunggang motosikal di pusat beli belah terbabit.

Pada ketika itu, saya melihat dia sudah pandai menunggang motosikal seperti remaja lebih berusia daripadanya walaupun sebelum ini tidak pernah mengajar atau membenarkannya menunggang kenderaan terbabit.

Melihat dia bersungguh dan mempunyai minat terhadap motosikal menyebabkan saya mengambil keputusan membeli sebuah motosikal mini buatan China berharga RM1,000 beberapa bulan kemudian untuk dia berlatih.

 

Bagaimana boleh mengetahui bahawa Hafizh Syahrin berkebolehan mengendalikan motosikal poket dan kemampuannya menyertai pertandingan?

Mudah saja apabila dia menyertai pertandingan motosikal mini yang pertama di Port Dickson, Negeri Sembilan dan dia berjaya memenanginya tempat pertama dengan hanya menggunakan motosikal tanpa modifikasi seperti peserta lain.

  Bertitik tolak dari situ, saya lihat dia bersungguh untuk menunggang motosikal bukan kerana mahu kemenangan namun disebabkan minat mendalam terhadap sukan terbabit.

Saya lihat kemampuan dia mengendalikan motosikal berkenaan dengan cekap seterusnya melakukan modifikasi bersesuaian dengan kemampuannya mengendalikan jentera itu.

 

Bagaimana Hafizh Syahrin membahagikan masa antara kewajipan persekolahan dan menjalani latihan serta pertandingan yang disertainya?

Terus terang agak sukar untuk membahagikan masa antara pelajaran dan sukan berkenaan kerana memerlukan komitmen tinggi selain perlu berkorban masa serta tenaga bagi memastikan kedua-dua bidang itu tidak ketinggalan.

Apa yang saya terapkan adalah mudah iaitu jika tidak pergi sekolah tiada motosikal atau lupakan saja sukan permotoran kerana saya mahu memastikan dia turut mengambil berat mengenai pelajaran.

Cuma ada waktunya dia terpaksa tidak menghadiri sesi persekolahan memandangkan kebanyakan kejohanan terutama di luar negara berlangsung pada Ahad, sekali gus menyebabkannya perlu berehat sebelum meneruskan sesi persekolahan.

Saya minta kebenaran daripada pihak sekolah dan Kementerian Pendidikan bagi memberi kelonggaran kepada Hafizh Syahrin dan alhamdulillah mereka memahami dan menyokong minat anakn saya ini.

 

Bagaimana sesi latihan yang diterapkan kepada Hafizh Syahrin sehingga dia mampu mengekalkan momentum memenangi hampir setiap pertandingan dianjurkan?

Ada beberapa perkara yang pelumba motosikal terlupa untuk amalkan iaitu memastikan kecergasan termasuk fizikal serta mental berada pada tahap optimum sebelum  menyertai pertandingan.

 Saya menitik berat perkara itu kepada Hafizh Syahrin sejak dahulu lagi dan perkara itu terus diamalkan, sekali gus menjadi rutin harian terutama ketika masa lapang atau tiada sebarang pertandingan.

 Setiap hari, dia akan mengayuh basikal sekurang-kurangnya lima kilometer walaupun pada sesi persekolahan manakala waktu malam pula akan meluangkan masa bermain futsal bersama rakan lain.

Itulah aktiviti yang sering dilakukan Hafizh Syahrin kerana dia sedar jika menjadi pelumba ‘lembik’ mudah untuk ditundukkan oleh pihak lawan ketika pertandingan. 

Adakah ketika zaman kanak-kanak dan remaja dia banyak menghabiskan masa bersama rakan dengan melakukan pelbagai aktiviti lain?

Hafizh Syahrin tidak sama seperti kanak-kanak seusianya ketika itu, malah ketika zaman remaja pun banyak menghabiskan masa dengan motosikal saja.

Kebanyakan rakannya adalah golongan lebih berusia iaitu pemilik motosikal yang menghantar kenderaan masing-masing untuk dibaiki di bengkel saya.

Keterujaan dia terhadap motosikal tidak boleh dinafikan apabila ada masa terluang saja pasti bermain dengan kenderaan terbabit atau berlatih di kawasan berhampiran.

Dia bukannya tidak mahu berkawan cuma Hafizh Syahrin memberi tumpuan sepenuhnya kepada minatnya itu demi mengejar cita-cita menjadi pelumba hebat.

Kebiasaan pelumba motosikal bermula dengan pembabitan dalam aktiviti rempit. Adakah Hafizh Syahrin turut terbabit dalam aktiviti berkenaan?

Setiap pelumba motosikal pasti ada jiwa untuk menunggang motosikal dengan laju di jalan raya biasa selain terbabit dalam aktiviti rempit.

Saya tidak nafikan sebelum ini dia ada terbabit dalam aktiviti berkenaan namun apabila Hafiz Syahrin sudah menjadi pelumba profesional, perkara terbabit perlu dielakkan malah dipantau ketat oleh saya.

Setiap pergerakannya akan dipantau bagi memastikan dia tidak menunggang motosikal secara melulu, malah saya meminta pekerja mengikutnya sekali supaya perkara berkenaan tidak terjadi.

Setiap kejayaan yang dikecapi pasti ada rintangan dan cabaran yang perlu dihadapi. Boleh ceritakan antara cabaran dan rintangan dalam membentuk Hafizh Syahrin sebagai pelumba profesional?

Banyak rintangan dan cabaran dilalui sepanjang membentuk kerjaya Hafizh Syahrin antaranya terpaksa tidur di tepi lebuh raya ketika dalam perjalanan dari Terengganu ke Johor demi menyertai pertandingan motosikal mini.

Namun, perkara menyedihkan apabila sebaik saja tiba di lokasi pertandingan itu, kami tidak membenarkan menyertainya dengan pelbagai alasan tidak munasabah.

 Selain itu, masalah kewangan juga menjadi antara cabaran yang perlu dihadapi memandangkan pada peringkat awal pembabitannya dalam industri permotoran, tiada syarikat atau individu mahu memberikan tajaan.

Segalanya saya gunakan duit poket sendiri menerusi hasil pendapatan membuka bengkel dan hampir semua pendapatan dilaburkan kepada Hafizh Syahrin.

Ditipu dan dipermainkan oleh pihak tertentu juga menjadi asam garam selama lebih 10 tahun Hafizh Syahrin terbabit dalam dunia permotoran namun semuanya itu mematangkan dia untuk terus cekal seterusnya menggapai impian menjadi pelumba profesional.

 

Adakah hadiah yang lumayan menyebabkan Hafizh Syahrin terbabit dalam sukan permotoran secara serius?

Tipulah jika mengatakan hadiah lumayan tidak berperanan dalam menarik minat pelumba untuk menyertai pertandingan yang diadakan oleh pihak tertentu.

 Cuma, saya terapkan kepada dia bahawa wang bukan segalanya kerana kerjaya dan kejayaan adalah penting dalam membina nama dalam sukan permotoran.

 Sepanjang puluhan tahun saya terbabit dalam bidang sukan permotoran ini, saya lihat ramai pelumba akan mula jatuh atau tidak konsisten apabila meletakkan wang adalah segalanya berbanding membina nama.

Mungkin mereka menganggap kerjaya dalam sukan permotoran tiada masa depan menyebabkan pelumba hanya mengejar wang kemenangan semata-mata dan akhirnya gagal menyinar dalam kejohanan lebih berprestij.

Jika Hafizh Syahrin tidak menjadi pelumba motosikal, apakah kerjaya lain yang mungkin diceburinya?

Kemungkinan dia akan menjadi seorang mekanik kerana banyak masa dihabiskan di bengkel untuk membantu saya membaiki motosikal pelanggan.

Jika tidak, mungkin pembabitan sebagai pemain bola sepak kerana dia amat meminati sukan berkenaan malah setiap petang bermain bola sepak bila berkelapangan dan malam pula futsal bersama rakan lain.

Hafizh Syahrin kini berada di landasan yang betul dalam mencipta kejayaan lebih gemilang pada masa akan datang. Apakah sasarannya dalam masa terdekat ini dalam kejohonan MotoGP?

Kami tidak meletakkan sasaran tinggi pada penampilan sulung cuma berharap dapat mengekalkan momentum seterusnya mendapat gelaran pelumba baru terbaik tahun ini.

Perjalanan Hafizh Syahrin masih jauh lagi dan banyak perkara perlu diperbaiki bagi memastikan dia terus dapat mengekalkan momentum seterusnya mengutip lebih banyak mata.

Kami juga berharap dia terus mencipta kejayaan lebih gemilang dalam sukan permotoran seterusnya menjadi kebanggaan rakyat Malaysia.

Disiarkan pada: March 25, 2018 @ 6:19am
d