utama

Masak pulut kuning

Oleh Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman

Lima (Peru): “Kak Long nak peluk mak. Rindu sangat pada mak.”

Selepas kira-kira 12 tahun di perantauan merempat di negara asing, itulah hasrat Nor Suzanna Azmi sejurus tiba di tanah air, dijangka jam 3 petang esok.

Dia juga sudah berpesan kepada ibunya, Norliana Maarof untuk memasak pulut kuning dan membawa makanan yang amat diingininya ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) nanti.

“Mak bawa tupperware (bekas). Kak Long nak makan pulut bila tiba nanti.

“Dah 12 tahun kempunan nak makan pulut,” katanya dalam perbualan menerusi panggilan video kepada ibunya di Kuala Lumpur ketika kami dalam kereta dari rumahnya ke hotel penginapan untuk sesi temu bual, petang Jumaat lalu waktu tempatan.

Mangsa keldai dadah sindiket penyeludupan antarabangsa itu ditahan di Jorge Chavez International Airport di sini, 12 tahun lalu.

Ketika itu dia berusia 24 tahun, anak muda mentah yang terpesona dengan tawaran melancong percuma ke luar negara.

Kini berusia 36 tahun, Suzanna ketika itu terpengaruh dengan pujukan kenalan lelaki keturunan Afrika dan seorang wanita tempatan di Kuala Lumpur.

Dia ghairah untuk melancong sehingga tidak mendengar nasihat keluarga.

Mendapat peluang melancong ke Madrid, Sepanyol, Trinidad & Tobago dan Peru, dia menaiki pesawat dari Kuala Lumpur yang disangkanya akan menjadi pengalaman menyeronokkan dan sesuatu yang tidak pernah diimpikan sebelum itu.

Tanpa disedari, ia adalah perjalanan ke penjara dan terpaksa merempat di negara yang asing serba-serbi, daripada bahasa sehingga budaya.

Dia ditahan di lapangan terbang bersama lebih dua kilogram dadah dalam beg yang dibawa ketika mahu berlepas ke Madrid.

Akibatnya, Suzanna dihukum penjara enam tahun lapan bulan. Nasibnya baik kerana rayuan diterima dan hanya menjalani hukuman penjara dua tahun enam bulan.

“Selepas dibebaskan, saya menumpang hidup di pusat perlindungan di gereja Gruta de Lourdes selama kira-kira tiga tahun,” katanya.

Dia bersyukur kepada Allah dan berterima kasih kepada biarawati gereja itu Sister Maria.

Di situ, Suzanna berlindung dan mendapat bantuan Sister Maria bersama beberapa lagi mangsa keldai dadah dari beberapa negara, termasuk seorang warga Malaysia, Syzlin Hataman.

Bagaimanapun, Syzlin yang berasal dari Johor Bahru tidak tidak sempat dibawa pulang.

Syzlin dan seorang lagi mangsa, Noor Azimah Sapie, 38, yang terkandas di sini sejak kira-kira 10 tahun lalu, sepatutnya pulang bersama Suzanna.

Bagaimanapun, Syzlin yang menghidap kencing manis dan asma, meninggal dunia di sebuah hospital di sini pada 7 Oktober tahun lalu, sama dengan tarikh kelahirannya.

Ketika di pusat perlindungan dan selepas keluar untuk meneruskan kehidupan, Suzanna melakukan pelbagai kerja termasuk jurujual di kedai telefon dan pekerja kilang membungkus syampu.

“Ketika itu, saya hanya mahu meneruskan kehidupan. Memang ada hasrat nak balik, tetapi macam-macam bermain dalam fikiran.

“Malu, tohmahan dan pandangan buruk masyarakat jika balik ke Malaysia. Saya juga tak mahu jejaskan nama keluarga,” katanya.

Sering kali juga Suzanna meminta wang daripada keluarga di Malaysia untuk meneruskan kehidupan.

“Keluarga pun bukan orang senang. Sesekali mereka kirim duit tapi emak tak mampu belikan tiket.

“Bayaran untuk urusan dokumentasi dan keizinan keluar dari Peru memerlukan ribuan ringgit,” katanya.

Dia nekad terus tinggal di Lima walaupun kerinduan kepada keluarga dan tanah air amat membara.

Suzanna bertemu dengan Garlin Lever Quispe Sanchez, rakyat Peru yang kemudian menggunakan nama Yusof selepas mereka berkahwin.

Pasangan itu mempunyai dua anak lelaki, Muhammad Duler Akasyah Salas Azmi dan Garlin Junior Quispe Azmi @ Huzaifah.

Mereka sekeluarga akan pulang ke Malaysia.

Hasrat Suzanna ingin pulang ke tanah air bermula pada November 2016 ketika penulis membuat liputan persidangan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) yang dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Dia dan Azimah menemui penulis dan meminta bantuan membawa Syzlin yang ketika itu tidak sihat pulang ke Malaysia.

Kami berbincang dan penulis mencadangkan kisah mereka disiarkan di akhbar.

Sejurus laporan disiarkan, beberapa pihak termasuk UMNO menyatakan hasrat mahu membantu.

Pengerusi Biro Kebajikan UMNO (BiKUM) Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah, yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO dan Ahli Parlimen Lenggong menghubungi penulis dan kami mula merancang serta mengatur urusan membawa mereka pulang.

Pihak BiKUM berurusan dengan Wisma Putra dan Kedutaan Besar Malaysia di Lima menerusi Duta Besar, Chuah Teong Ban.

Pegawai BiKUM yang diberi tanggungjawab menguruskan misi ini ialah Setiausaha Operasinya Awie Shoubli Jamal.

Suzanna bersyukur dan berterima kasih kepada BH, BiKUM, Wisma Putra dan pihak kedutaan serta Perdana Menteri yang memudahkan urusannya sekeluarga.

Mengenai perancangan selepas ini, Suzanna mahu melupakan pengalaman pahit dilalui dan memulakan hidup baru bersama suami dan anak-anak di Malaysia.

Dia juga bersyukur kerana dapat kembali bersama keluarga di Malaysia terutama ibu tersayang.

“Saya tak kisah apa orang nak kata. Saya faham saya melakukan kesilapan kerana terlalu ikut rasa hati dan tak dengar nasihat keluarga.

“Saya dah bayar semua kesilapan saya. Selama 12 tahun di sini banyak pengajaran yang saya dapat,” katanya yang bercadang mencari pekerjaan dan mungkin memulakan perniagaan kecil.

Dia yang kini fasih berbahasa Sepanyol bercadang mencari peluang bekerja dalam sektor pelancongan dan penterjemahan.

Kepada rakyat Malaysia baik wanita mahu pun lelaki, Suzanna berpesan supaya berhati-hati dengan tawaran seumpama itu.

“Apa juga yang ditawarkan, tiada yang percuma dalam dunia sekarang.

“Berhati-hati berkawan dan jangan mudah percaya dengan tawaran melancong atau apa saja pekerjaan dengan pendapatan lumayan,” katanya.

Disiarkan pada: March 25, 2018 @ 6:41am
d