utama

Perkenal sistem 'Haji Pintar'

Oleh A Jalil Hamid

Makkah: Jemaah Malaysia yang berhasrat menunaikan haji dan umrah bakal menikmati pelbagai kemudahan menerusi pelbagai inisiatif dilaksanakan kerajaan Arab Saudi.

Ia termasuk sistem berteknologi tinggi terkini bagi pelepasan imigresen di lapangan terbang yang mengurangkan masa menunggu dari dua jam seperti sekarang kepada 10 minit di samping pengenalan kereta api berkelajuan tinggi.

Timbalan Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Dr Abdulfattah Suliman Mashat berkata, masa menunggu di lapangan terbang ketika ini tidak boleh diterima sama sekali.

“Ketika ini, kami perlu memeriksa setiap pasport secara manual. Pada masa akan datang, anda boleh menggunakan Pengenalan Frekuensi Radio (RFID) di pintu elektronik dan terus menaiki bas serta kereta api ke hotel.

“Kami ingin memperkenalkan konsep ‘Smart Haj’ atau ‘Haji Pintar’. Masa menunggu dipendekkan dan mulai tahun ini, beberapa proses baru akan dilaksanakan.

“Kami rancak menaik taraf proses membabitkan bagasi, pasport dan laluan ke lapangan terbang,” katanya kepada kumpulan pengarang Malaysia di sini, semalam.

Dalam wawancara eksklusif itu, Abdulfattah yang juga Pemangku Menteri Haji dan Umrah menyatakan pujian terhadap Tabung Haji atas rekod cemerlang agensi itu menguruskan jemaah.

Bekas ahli akademik yang dilantik ke jawatan itu Oktober tahun lalu berkata, kerajaan Arab Saudi mengekalkan keseluruhan kuota haji tahun ini seperti tahun lalu.

“Kami mempunyai pengalaman baik dengan Malaysia dari segi latihan dan pengurusan haji,” katanya yang memberi penarafan 9.5 daripada 10 kepada Tabung Haji.

Kerajaan Arab Saudi merancang untuk melaksanakan visa E-Haj di seluruh dunia mulai tahun ini selepas kejayaan projek perintis di Malaysia.

Jemaah haji Malaysia dijadikan kumpulan perintis menguji sistem Bukti Konsep (POC) bagi pelepasan awal sebelum berangkat ke Arab Saudi.

Arab Saudi mencatat kejayaan menerusi pelaksanaan sistem visa E-Haj dengan Malaysia, India dan Indonesia serta beberapa negara lagi.

Abdulfattah turut menggariskan beberapa langkah utama ke arah meningkatkan perkhidmatan haji dan umrah demi kesejahteraan jemaah.

Beliau berkata, semua langkah berkenaan adalah sebahagian daripada pengisian Wawasan 2030 Arab Saudi ke arah memodenkan negara itu dan menarik lebih ramai jemaah.

Sasarannya ialah meningkatkan bilangan jemaah umrah kepada 30 juta orang setahun menjelang 2030, berbanding tujuh juta ketika ini, di samping menambah jemaah haji kepada 4.5 juta berbanding tiga juta seperti sekarang bagi tempoh sama.

Bercakap kepada media di lobi hotel mewah menghadap Masjidil Haram, Abdulfattah berkata, transformasi haji dan umrah adalah sebahagian daripada Wawasan 2030 Arab Saudi selaku pusat dunia Islam dan Penjaga Dua Masjid Suci.

“Satu daripada kerangka utama Transformasi Nasional ialah bagaimana untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada tetamu Allah,” katanya.

Katanya, inisiatif lain termasuk meningkatkan infrastruktur berkaitan termasuk membina trem dan pengangkutan awam lain serta perumahan baharu di Mina.

Beliau berkata, lapangan terbang baru Jeddah akan dibuka selepas Ramadan manakala kereta api berkelajuan tinggi Ekspres Haramain bernilai AS$16 bilion mungkin memulakan operasi komersial tahun ini.

“Kereta api berkenaan kini menjalani pemeriksaan keselamatan dan kesediaan operasi peringkat akhir,” katanya.

Ekspres Haramain direka untuk mencapai kelajuan sehingga 360 kilometer (km) sejam.

Projek yang turut dikenali sebagai ‘Kereta Api Barat’ atau ‘Kereta Api Berkelajuan Tinggi Makkah-Madinah’ itu merangkumi jarak sejauh 453 km.

Ia menghubungkan Madinah dan Makkah menerusi Bandar Raya Ekonomi Raja Abdullah (KAEC) dan Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdulaziz, merangkumi laluan utama sepanjang 449.2 km dan jajaran penghubung 3.75 km ke lapangan terbang.

Perkhidmatan itu dijangka memanfaatkan sehingga 60 juta penumpang setahun termasuk jutaan jemaah haji dan umrah. Pembinaannya dimulakan pada Mac 2009.

Dengan kelajuan operasi 300 km sejam, kereta api itu akan mengurangkan masa perjalanan antara Makkah dan Madinah kepada kurang dua jam berbanding enam jam menaiki bas.

Abdulfattah berkata, kerajaan Arab Saudi akan memulakan projek perumahan mesra alam di Mina.

Setiap blok mengandungi bangunan empat tingkat yang dilengkapi kemudahan penuh dan boleh menempatkan sehingga 4,000 jemaah.

Beliau berkata, bilangan jemaah terpaksa dihadkan setiap tahun berikutan penempatan terhad di Mina.

Kerajaan Arab Saudi turut melaksanakan projek peluasan Masjidil Haram yang terbesar pernah dilakukan dalam sejarah Islam.

Dijadual siap pada pertengahan tahun ini, projek dengan kos AS$21.3 bilion itu terbahagi kepada tiga fasa yang turut merangkumi pembinaan bangunan tujuh tingkat mengandungi 74 dewan solat, sebuah dewan sembahyang utama seluas 250,000 meter persegi dan kawasan tawaf seluas 5,000 meter persegi.

Disiarkan pada: March 25, 2018 @ 11:00am
d