utama

Impian Eyka terlaksana

Oleh Rudy Imran Shamsudin

Setiap orang mempunyai impian, cuma kadang-kadang apa yang diimpikan tidak mungkin mampu menjadi kenyataan.

Ia mungkin disebabkan apa yang dimahukan itu berada di luar kemampuan.

Atas alasan itu, pelakon yang sedang mencipta nama, Eyka Farhana sangat bersyukur apabila impiannya kini satu persatu menjadi nyata.

Eyka ketika ditemui baru-baru ini berkata, walaupun semua orang melihat dia kini sudah berjaya menjadi pelakon, dunia lakonan bukanlah satu-satunya impian Eyka.

“Kalau hendak diikutkan, ada beberapa perkara lagi yang saya mahu tetapi tidak fikir langsung ia boleh direalisasikan. Ibarat kata orang, ukur baju di badan sendiri. Saya juga tidak pernah yakin impian saya itu juga dapat dicapai,” katanya.

Eyka berkata, dia melihat dunia lakonan sekarang lebih kepada kerjaya tetap dan sumber pendapatan utamanya.

Pelakon yang mula dikenali menerusi drama Sejadah Kaabah dan Nurain ini juga tidak menyangka bidang lakonan turut membuka jalan untuk menggapai dua lagi impiannya sejak kecil.

Dua impiannya itu ialah untuk melihat gambarnya terpampang di kedai menjual barangan penjagaan diri dan farmasi serta merakamkan lagu.

“Memang malu nak cerita, tapi itulah impian saya. Saya selalu berangan-angan gambar saya terpampang di kedai itu.

“Saya bersyukur pada usia mencecah 23 tahun, impian yang tidak pernah saya jangka itu akhirnya menjadi kenyataan,” katanya.

Menurut Eyka, dia juga terhutang budi dengan syarikat pengurusannya Mind Order Management Sdn Bhd yang menjadikan impian dan cita-citanya sebagai kenyataan.

“Gambar saya sudah terpampang di beberapa kedai barangan penjagaan diri dan farmasi memandangkan saya dipilih menjadi duta produk kecantikan,” katanya.

Selain itu, impiannya bergelar penyanyi juga sudah tercapai apabila bakal tampil dengan lagu bersama seorang selebriti laman sosial.

“Saya menyanyi dan dia mengalunkan rap. Bagaimanapun, tidak banyak yang boleh saya kongsikan mengenainya buat masa sekarang. Biarlah ia menjadi kejutan buat peminat.

Lagu itu sudah dirakamkan dan kini dalam proses ‘mixing’. Ia akan mula diperdengarkan kepada umum bulan depan.

“Seminggu sebelum ia diperdengarkan saya akan berkongsi dengan peminat semua proses sepanjang kami berdua merakamkan lagu itu. Orang yang menghasilkan lagu itu pada saya hebat dan sangat menarik. Syukur saya dapat menjadi sebahagian daripadanya,” katanya.

Disiarkan pada: March 26, 2018 @ 2:38am
d