utama

Menyerah kalah

Oleh Reuters

Beirut: Tentera Syria memasuki beberapa kawasan terakhir yang dikuasai kumpulan penentang di Ghouta Timur semalam, ketika pemberontak bersama ahli keluarga mereka berundur dari kawasan itu selepas menyerah kalah sebagai balasan supaya dibenarkan keluar secara selamat.

Ratusan pemberontak, anggota keluarga mereka serta orang awam meninggalkan wilayah itu lewat kelmarin selepas kumpulan bergelar Faylaq al-Rahman yang menguasai kawasan sekitar Arbin bersetuju untuk menyerah kalah.

Perjanjian itu bakal menyaksikan kira-kira 7,000 orang akan menaiki bas dari Arbin ke Zamalka serta daerah di Jobar ke kawasan yang masih dikuasai pemberontak di bahagian utara Syria.

Kini, hanya tinggal bandar Douma sebagai kubu kuat terakhir kumpulan penentang berhampiran Damsyik.

Hampir keseluruhan wilayah Ghouta Timur yang hampir musnah ditawan tentera Syria yang melancarkan serangan besar-besaran selama sebulan.

Kawasan pertanian dan bandar itu pernah menjadi antara lokasi kebangkitan kumpulan penentang pada 2011 dan antara kubu kuat utama pemberontak.

Sementara itu, stesen televisyen kerajaan melaporkan, mereka yang sebelum ini ditahan pemberontak dibebaskan dan mereka berundur menggunakan bas mini.

Katanya, tentera meneruskan kemaraan ke beberapa kawasan pemberontak dengan menunjukkan gambar parit pertahanan besar dan benteng lain yang ditinggalkan.

Pemerhati Syria untuk Hak Asasi Manusia memberitahu, operasi tentera untuk menawan kawasan itu menyaksikan pengeboman paling hebat sejak perang tujuh tahun terbabit dengan pesawat, helikopter dan meriam artileri.

Menurut pemerhati itu, operasi mengorbankan 1,600 orang awam.

Penduduk dan kumpulan hak asasi menuduh kerajaan mengguna senjata yang mengakibatkan kematian terhadap orang awam termasuk bom tong yang tidak tepat menggunakan helikopter, gas klorin dan bahan kimia lain yang mencetuskan kebakaran.

Presiden Syria, Bashar al-Assad dan sekutu rapatnya Russia yang membantu melakukan serangan udara menafikan penggunaan semua senjata itu berkata, serangan mereka perlu untuk menamatkan penguasaan militan terhadap penduduk awam.

Disiarkan pada: March 26, 2018 @ 3:20am
d