utama

Menangis Fasha Sandha dibuatnya...

Oleh Rudy Imran Shamsudin

PELAKON popular, Fasha Sandha menitiskan air mata apabila menerima kejutan kelab peminat We Love Fasha Sandha (WLFS) yang meraikan hari jadinya ke-34 lebih awal, minggu lalu.

Hari jadi Fasha yang sepatutnya esok diraikan Sabtu lalu oleh WLFS bagi memastikan kejutan dilakukan mereka menjadi.

Menceritakan detik hiba sehingga menyebabkan dia menangis pada sambutan hari jadi dibuat WLFS, kata Fasha dia tahu setiap mereka yang hadir pada malam itu banyak berkorban untuknya.

“Bayangkan pada malam itu ada yang sanggup datang dari jauh. Terbang dari Sabah semata-mata untuk meraikan saya. Itu belum lagi yang datang dari selatan dan utara tanah air.

“Membuatkan saya lebih tersentuh, bayangkan mereka berhabis mengeluarkan duit yang banyak untuk menjayakan majlis sambutan hari jadi terbabit,” katanya.

Kata Fasha ada antara mereka berkorban tenaga memandu pulang serta merta ke Johor dan Perak pada pagi-pagi buta sebaik majlis selesai.

“Saya tidak mahu diraikan sebegitu kerana atas sebab-sebab saya nyatakan tadi. Saya tidak tahu setiap ahli WLFS berhabis wang ringgit semata-mata mahu mengadakan majlis hari jadi itu.

“Lebih daripada itu ada antara mereka membahayakan nyawa apabila terpaksa memandu pada awal pagi. Malah, antara mereka tidak tidur langsung dan terus pergi kerja,” katanya.

Fasha menegaskan, dia juga membuat keputusan tidak mahu mengadakan sambutan hari jadi mahu pun diraikan besar-besaran sempena ulang tahun ke-34 esok kerana berasakan semua itu tidak perlu.

“Entahlah, saya rasa kurang sesuai kali ini untuk sambut hari jadi apabila usia semakin menginjak. Mungkin disebabkan makin banyak nombor usia, ia membuatkan saya semakin dewasa,” katanya.

Disiarkan pada: March 27, 2018 @ 4:42pm
d