utama

'Menjijikkan...'

Oleh Avila Geraldine

SEPASANG pelancong asing dipercayai membersihkan anak mereka di tempat terbuka di sebuah pusat beli-belah, Kota Kinabalu, hari ini.

Tindakan pasangan itu di rakam dan dimuat naik pemilik akaun Facebook, Edrie Mc, 35, sehingga mendapat perhatian netizen.

Dalam tulisannya, Edrie berkata: "Pemandangan yang jijik. Membuang air kecil atau besar di tempat awam dan kali ini di pusat beli-belah di mana terdapat tandas awam serta kaunter pertanyaan.

"Terdapat juga bilik persalinan anak. Ya, mereka adalah pelancong. Mungkin kita perlu ada papan tanda bukan sahaja dalam Bahasa Inggeris atau Bahasa Melayu."

Ketika dihubungi, Edrie yang bekerja di agensi pelancongan berkata, insiden itu berlaku kira-kira 1.30 tengah hari di kawasan lif tingkat bawah pusat membeli belah terbabit.

Menurutnya, dia ternampak pasangan pelancong asing itu di suatu sudut sambil menukar lampin anak mereka.

"Tandas hanya di sebelah. Saya tidak melihat sama ada kanak-kanak itu sudah membuang air kecil atau belum tetapi biasanya yang saya temui berkelakuan begitu adalah pelancong asing," katanya.

Edrie percaya keluarga itu adalah pelancong asing dan bukan tempatan berdasarkan percakapan mereka.

Berikutan itu, Edrie berkata, pusat beli-belah dan tempat awam lain harus mempunyai papan tanda tandas yang lebih besar.

"Kami mempunyai ramai pelancong yang datang dari China, Jepun, dan Korea Selatan. Mungkin kita perlu meletakkan lebih banyak tanda dalam pelbagai bahasa," katanya.

Disiarkan pada: March 27, 2018 @ 8:01pm
d