utama

Jauh berkhalwat...

Oleh Rosliza Mohamed

SEPASANG kekasih berusia 20an sanggup menaiki motosikal dari Selangor ke Kelantan kononnya untuk menghadiri kenduri kahwin sebelum ditangkap khalwat di hotel bajet di Demit, Kubang Kerian, Kota Bharu, semalam.

Pasangan itu antara lima pasangan lain yang ditahan dalam Ops Bersepadu yang diadakan di sekitar daerah ini bermula kelmarin hingga 4 pagi semalam.

Operasi membabitkan Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) serta Jabatan Agama dan Hal Ehwal Islam Kelantan (JAHAEIK).

Ketua Unit Operasi MPKB-BRI, Mohd Halimie Md Salleh berkata, pasangan kekasih yang tinggal di Selangor disyaki berkhalwat di hotel bajet berkenaan pada 1 pagi.

"Pasangan itu mendakwa datang ke sini untuk menghadiri kenduri kahwin sebelum menginap di hotel bajet berkenaan.

"Manakala lima pasangan yang lain berusia lingkungan 20an ditahan ketika berdua-duaan dalam kenderaan di Jalan Pengkalan Chepa, di sini," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Beliau berkata, pasangan yang ditahan itu dikenakan sejumlah kompaun.

Disiarkan pada: March 27, 2018 @ 8:34pm
d