utama

'Dugaan hebat buat ibu tiri'

Oleh Farah Suhaidah Othman

KELUARGA kanak-kanak lelaki, 2, yang meninggal dunia selepas lehernya terjerut pada tali pengikat langsir di rumah keluarganya di Meru Raya, Ipoh semalam menyifatkan kejadian sebagai ujian besar kepada ibu tiri mangsa.

Dalam kejadian pada 2.15 petang itu, mangsa ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri dengan lehernya tergantung pada tali berkenaan oleh ibu tirinya, 30, di ruang masuk ke dapur.

Ahli keluarga mangsa yang enggan dikenali berkata, ibu tiri mangsa amat menyayangi kanak-kanak terbabit seperti anak sendiri selepas mangsa kematian ibu kandungnya akibat barah payu dara.

“Dia (ibu tiri) baik sangat, dia layan anak itu lebih daripada kita yang melayan anak sendiri.

“Kehilangan arwah adalah sebahagian ujian Tuhan untuknya agar lebih tabah,” katanya ketika ditemui di kediaman mangsa, hari ini.

Ahli keluarga yang ditemui itu, bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai kejadian.

“Cukuplah setakat itu sahaja, apa yang berlaku sudah pun berlaku. Mak cik minta maaf ya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ipoh Asisten Komisioner Mohd Ali Tamby berkata, setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Katanya, jenazah arwah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Meru Raya, malam tadi.

Berita berkaitan

Ajal terjerut tali langsir

Disiarkan pada: March 28, 2018 @ 3:36pm
d