utama

Aprena masih terkejut

Oleh Sudirman Mohd Tahir

Mungkin ramai tidak tahu Aprena Manrose adalah anak kepada pasangan penyanyi dangdut tekenal, Iwan dan pelakon Allahyarham Rosnah Mohd Noor.

Bakat seni yang mengalir dalam dirinya begitu kuat sehingga mengikut jejak langkah ibu bapanya dalam dunia hiburan tempatan.

Bagaimanapun, Aprena atau nama sebenarnya Wan Syahera Putri Aprena Wan Syahman, 25, perlu menghabiskan sesi pengajian dalam bidang Diploma Penyiaran dan Filem, Kolej Universiti Metropolitan Kuala Lumpur (KLMU) jika ingin berkecimpung dalam bidang lakonan.

Pada masa sama, itu adalah impian arwah ibunya yang mahu melihat Aprena berjaya dalam pelajaran dan tidak kosong dengan ilmu di dada.

Tanpa membuang masa, Aprena mula mengorak langkah dalam bidang seni dengan berjinak-jinak sebagai pelakon tambahan lima tahun lalu.

Dari bawah, Aprena mula mendaki tanpa mengenal erti putus asa. Setiap peluang yang datang diambil kerana baginya itu proses pembelajaran.

Tawaran memegang watak utama dalam Tiada Arah Jodoh Kita yang ditayangkan menerusi slot Akasia di TV3 mengubah 360 darjah kehidupan Aprena.

“Ibu meninggal dunia ketika saya menduduki peperiksaan tahun akhir lima tahun lalu. Sepanjang hayatnya dan dalam keadaan sakit pun, dia tetap memikirkan masa depan saya dalam bidang ini. Boleh dikatakan hampir setiap masa dia menghubungi kenalan produksi untuk mengambil saya berlakon.

“Dengan harapan, apabila dia sudah tiada, saya ada tempat dalam bidang ini. Alhamdulillah, berkat usahanya dan kerja keras saya juga, tawaran berlakon tidak putus. Bermula dengan watak tambahan ‘pak pacak’, saya diberi watak tambahan berdialog dan akhirnya watak utama.

“Pada awalnya, saya kurang yakin dengan watak Afia Awliya. Apatah lagi sebagai orang baru saya berasakan terlalu awal memegang watak utama dan ditayangkan pula di slot Akasia. Bagi saya watak ini terlalu berat, namun atas sokongan orang sekeliling saya cabar diri berlakon dalam drama ini,” katanya.

Seperti diduga ramai pihak, drama yang menampilkan Shukri Yahaya sebagai hero itu mendapat sambutan baik dan tersenarai dalam ‘trending’ topik pada setiap episod.

Ia sekali gus membuatkan populariti dan nama Aprena melonjak naik. Daripada sekadar pelakon biasa, Aprena kini digilai dan mengumpul peminat tersendiri.

“Alhamdulillah, saya tidak menjangka dengan sambutan diberikan, malah kalau pergi ke mana saja orang memanggil dengan nama watak iaitu Pia (Afia). Bagaimanapun, populariti diterima tidak mengubah diri saya. Saya masih sama seperti dahulu.

“Boleh dikatakan saya masih terkejut dengan apa dilalui sekarang. Disebabkan itu, saya dalam proses menyesuaikan diri sebagai artis. Kata orang, kalau sudah dikenali perlu bersedia dengan segala kemungkinan,” katanya.

Aprena juga mengakui disebabkan drama itu dia tidak membuka laman Instagram miliknya selama seminggu ketika mula bersiaran.

Menurut Aprena, dia takut sekiranya lakonannya dikecam penonton dan diberi jolokan pelakon kayu.

“Saya sedar diri yang masih terlalu hijau diberikan watak utama. Jadi, apabila mula ditayangkan banyak perkara bermain difikiran terutama soal komen dan kritikan penonton. Lagipun, perkara ini sering terjadi kepada pelakon baru seperti saya.

“Tidak dinafikan ada komen mempertikaikan kenapa saya dipilih sebagai heroin. Begitu juga yang menyifatkan saya tidak ada aura melakonkan watak utama.

“Namun, selepas seminggu tayangan, pasukan produksi memaklumkan lakonan saya mendapat maklum balas positif. Peminat mulai memuji dan kebanyakannya menyatakan hasrat berjumpa saya,” katanya.

Tak rahsia perkahwinan

Tidak hanya latar belakang dirinya daripada anak seni, Aprena juga sudah berkahwin dengan ahli perniagaan, Mohd Afiq Hazman, 31, pada November 2016.

Jika segelintir pihak selesa untuk merahsiakan status peribadi, tidak bagi Aprena yang selesa berkongsi mengenai perkara sebenar.

“Selepas berkahwin, tawaran berlakon tidak putus dan watak pula menarik. Saya anggap ini adalah rezeki berkahwin. Malah, selepas berlakon dalam Pinggan Tak Retak Nasi Tak Dingin yang turut ditayangkan di slot Akasia tahun lalu, saya mendapat tawaran Tiada Arah Jodoh Kita.

“Dalam perkara ini saya okey saja. Kalau ada sesiapa bertanya, saya akan berkongsi. Lagipun, tanpa restu dan sokongan suami saya takkan berada sampai di tahap sekarang. Dalam erti kata lain, dia adalah tulang belakang saya.

“Jadi, buat apa saya nak malu atau sorok status perkahwinan. Sebaik-baiknya, lebih bagus jika orang sekeliling tahu. Soal status tidak menghalang untuk berlakon kerana apa yang penting adalah bakat. Paling penting, rezeki Allah ada di mana-mana,” katanya.

Aprena yang belum memiliki cahaya mata berkata, suaminya tidak pernah meletakkan syarat tertentu asal saja dia tahu menjaga batas dan tanggungjawab sebagai isteri.

“Setiap kali keluar bekerja, suami pesan agar jaga diri dan pergaulan. Dia meletakkan sepenuh kepercayaan kepada saya. Dia sangat memahami kerjaya saya sehinggakan tidak perlu datang ke lokasi untuk buat ‘spot check’,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Aprena bakal terbabit dalam penggambaran telefilem dan drama Ops Din Sardin lakonan bersama Izzue Islam untuk slot Iris di TV3.

Selain itu, Aprena juga bakal bergandingan dengan Idris Khan menerusi telefilem raya, 3 Syawal.

Aprena juga baru selesai menjalani penggambaran telefilem Ini Harta Bedu Punya untuk TV9.

Disiarkan pada: March 29, 2018 @ 3:27am
d