utama

Hampiri gerbang Malaysia maju

Oleh Nazura Ngah

Kuala Lumpur: “Saya berazam memacu pembangunan negara bersama rakan saya, anggota pentadbiran ke arah masa depan jauh lebih baik dan saya yakin kita berada di ambang gerbang perubahan besar untuk Malaysia yang akan berlaku pada tahun-tahun akan datang”.

Ia adalah petikan ucapan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, ketika melancarkan Laporan Tahunan Program Transformasi Negara (NTP) 2017 di Pusat Dagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC), di sini, Jumaat lalu.

Ucapan itu secara keseluruhannya menunjukkan iltizam Najib dalam menjayakan NTP yang mula dilancarkan pada 2010, sebaik mengambil alih jawatan Perdana Menteri dalam memacu Malaysia keluar daripada perangkap pendapatan sederhana ke arah ekonomi berpendapatan tinggi menjelang 2020.

Memetik perutusan Perdana Menteri dalam Laporan Tahunan NTP 2017, Najib yang juga Menteri Kewangan menegaskan, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia berkembang 5.9 peratus tahun lalu walaupun ketika ini adalah tempoh cukup berliku bagi banyak negara.

Pertumbuhan itu adalah yang tertinggi dalam tempoh tiga tahun, sekali gus mengatasi kadar pertumbuhan negara jiran seperti Singapura, Indonesia, Korea Selatan dan Taiwan.

Pada masa tertentu, kerajaan perlu membuat keputusan yang sukar tetapi wajar demi memastikan kemajuan, termasuk rasionalisasi subsidi yang sebelum ini dibelanjakan secara purata kepada seluruh rakyat tanpa mengira tahap keperluan, selain pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) untuk meningkatkan kecekapan kutipan cukai.

“Meskipun menghadapi bantahan dan kritikan yang hebat, kita kekal dengan pendirian ini kerana kita tahu ini adalah keputusan yang betul.

“Natijahnya, semua rakyat Malaysia dapat menyaksikan penurunan defisit fiskal negara daripada 6.7 peratus pada 2009 kepada 3.0 peratus pada 2017,” kata Najib dalam perutusan itu.

NTP berjaya mencapai kejayaan baharu tahun lalu apabila pelaksanaan transformasi diserahkan kepada Unit Penyampaian Perkhidmatan Awam (CSDU) di bawah Jabatan Perdana Menteri, yang mengambil alih tugas Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (PEMANDU) pada Mac tahun lalu.

Peralihan itu membolehkan kerajaan menginstitusikan amalan terbaik dan budaya berlandaskan prestasi dalam kalangan penjawat awam, sekali gus semakin menghampiri matlamat menjadikan Malaysia sebuah negara berpendapatan tinggi.

Malaysia semakin hampir meraih status negara berpendapatan tinggi apabila pendapatan negara kasar (PNK) per kapita pada tahun lalu meningkat kepada AS$9,660 (RM37,700).

Angka berkenaan menjadikan jurang antara PNK per kapita Malaysia dan paras ukuran pendapatan tinggi Bank Dunia ketika ini berkurang kepada 20 peratus berbanding 33 peratus pada awal pengenalan NTP.

Tujuh tonggak utama dalam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA), 12 Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) dan lima Inisiatif Pembaharuan Strategik (SRI) dalam NTP juga mencapai sasaran petunjuk prestasi utama (KPI), dengan masing-masing mencatat 111 peratus, 109 peratus dan 119 peratus.

NKRA merangkumi usaha menangani peningkatan kos sara hidup, membanteras rasuah, mengurangkan jenayah, memastikan pendidikan berkualiti, meningkatkan taraf kehidupan isi rumah berpendapatan rendah, mempertingkatkan pembangunan luar bandar dan mempertingkatkan pengangkutan awam bandar.

Dalam pada itu, NTP berjaya menjadikan sektor swasta sebagai enjin pertumbuhan ekonomi dengan pelaburan swasta merangkumi 68 peratus jumlah pelaburan dalam tahun 2017, peningkatan kadar pertumbuhan tahunan terkumpul (CAGR) sebanyak 10.5 peratus dari 2010 hingga 2017.

Selain itu, negara berjaya mencatat penurunan kadar kemiskinan yang memberangsangkan sejak bermulanya program NTP.

Hasil daripada program seperti 1AZAM, kadar kemiskinan nasional menurun kepada 0.4 peratus pada 2016 daripada 3.8 peratus pada 2010, dengan peningkatan dalam purata pendapatan bulanan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah (B40) kepada RM2,848 pada 2016 berbanding RM1,440 pada 2009.

Bagi membantu rakyat menangani kos sara hidup, pada tahun lalu sahaja, RM6.31 bilion diagihkan melalui pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) kepada 7.22 juta individu dan keluarga yang layak.

Sejak 2012, kerajaan mengagihkan sejumlah RM25.62 bilion menerusi pemberian BR1M.

Di samping itu, pembangunan kawasan luar bandar diteruskan bagi memastikan masyarakat desa dapat sama-sama menikmati hasil transformasi negara.

Sehingga kini, 6.8 juta penduduk luar bandar mendapat manfaat daripada inisiatif strategik NTP, termasuk akses kepada air terawat, bekalan elektrik 24 jam dan kesalinghubungan jalan yang lebih baik.

Pada masa sama, kerajaan juga sudah memulakan perancangan di bawah Transformasi Nasional 2050 (TN50) untuk menjadikan Malaysia sebuah negara paling maju di dunia dari segi pembangunan ekonomi, kesejahteraan rakyat dan inovasi menjelang 2050.

Disiarkan pada: March 29, 2018 @ 3:58am
d