utama

Ekstrem biar selamat [METROTV]

Oleh Hafiz Ithnin

Kuala Lumpur: Aktiviti hayunan tali tinggi atau dikenali sebagai rope swing di Malaysia dan peringkat dunia belum mempunyai standard operasi (SOP) untuk dijadikan panduan khas.

Bagaimanapun, ada aktiviti tali tinggi lain yang hampir sama dengan rope swing dan konsep keselamatannya seperti dipraktikkan dalam aktiviti berkenaan terutama membabitkan prosedur penggunaan tali berpandukan garis panduan amalan terbaik semasa.

Perunding profesional aktiviti tali tinggi, TaliPRO yang bernaung di bawah syarikat Sausiah Vision Sdn Bhd, Mohamad Shaheir Sabaruddin berkata, tali yang digunakan untuk rope swing adalah tali Kernmantle berdiameter 10.5 milimeter kurang regangan sesuai digunakan untuk aktiviti abseiling, penerokaan gua, kerja menyelamat dan tali keselamatan ketika bekerja di tempat tinggi.

“Secara teknikalnya tali Kernmantle mampu menampung kekuatan minimum sehingga 30 kilonewton dan dengan fungsi kurang regangan membantu menyerap sedikit kesan hentakan sekiranya tali dihayunkan bersama beban.

“Bukan sekadar tali yang perlu diambil untuk penilaian, tetapi juga faktor lain untuk melakukannya dititik beratkan seperti kemampuan pokok untuk menambat dan menahan tali besi, cara pemasangan tali besi, akses laluan, pengurusan risiko dan pelan tindakan kecemasan oleh operator,” katanya yang mempunyai 15 tahun pengalaman dalam industri tali tinggi.

Mengulas mengenai aktiviti rope swing yang dianjurkan Rentas Adventures (Rentas), Shaheir berkata, TaliPRO antara penilai keselamatan untuk tali yang digunakan Rentas.

Katanya, pihaknya juga melihat aktiviti itu selamat untuk dilakukan kerana mengikuti kriteria serta mendapat perakuan bertulis daripada pelbagai pihak seperti Jabatan Kerja Raya, Institut Keselamatan dan Kesihatan Negara dan Persatuan Litar Cabaran Malaysia.

Shahier berkata, tali digunakan Rentas juga mampu menampung berat bebanan sehingga tiga tan untuk satu tali dan bagi menambah aspek keselamatan, operator itu menggunakan dua tali yang memegang setiap penerjun.

“Tali digunakan juga berkualiti tinggi dan mempunyai label data keselamatan jangka hayat 10 hingga 15 tahun dari hari dibuat. Bagaimanapun, ia bergantung kepada kekerapan dan cara penggunaannya mengikut aktiviti tertentu,” katanya.

Menurutnya, setiap operator yang menawarkan aktiviti tali tinggi perlu membuat pemeriksaan tali daripada pemeriksa yang profesional sekurang-kurangnya sekali setahun.

“Jika tali digunakan terdedah kepada bahan kimia, beban jatuh yang berat, geseran teruk, kepanasan mencairkan material dan melebihi jangka hayat, ia harus dihentikan. Biasanya tali diperiksa secara teknik visual dan sentuhan ke atas keseluruhan panjang tali,” katanya.

Sementara itu, Pengasas dan Ketua Pengurus Operasi Rentas Mohd Shafiq Azmi berkata, sejak aktiviti rope swing dianjurkannya dibuka untuk disertai orang ramai pada penghujung 2016, sehingga kini 200 peserta membuat terjunan.

Katanya, aspek keselamatan sentiasa dititik beratkan termasuk mereka mempunyai pengalaman dalam aktiviti tali tinggi sejak lima tahun lalu mendapatkan perakuan pihak berkuasa dan penilai keselamatan profesional serta sentiasa bersedia sekiranya berlaku kejadian tidak diingini.

“Mengenai SOP dilakukan dalam aktiviti ini, kami mempunyai beberapa dokumen perlu ditandatangani peserta termasuk borang persetujuan mengenai tuntutan sekiranya berlaku sebarang kemalangan, merekodkan jumlah terjunan, menimbang berat badan peserta dan mengehadkan hanya 40 kali terjunan dalam sehari,” katanya.

Disiarkan pada: March 29, 2018 @ 5:34am
d