utama

Diana 'si ibu harimau'

Oleh Syafil Syazwan Jefri

Walaupun sibuk dengan kerjaya sebagai pelakon dan pengacara, Datin Diana Danielle juga sentiasa meletakkan keutamaan kepada tanggungjawabnya sebagai ibu.

Baru-baru ini, Diana bercerita mengenai anak perempuannya, Aurora, 2, tidak gembira selepas beberapa hari memulakan persekolahan.

“Setiap daripada kita ada fasa hidup dalam kehidupan. Untuk kanak-kanak, zaman persekolahan adalah fasa baru buat mereka.

“Selepas beberapa hari menghantar Aurora ke sekolah, dia nampak tak gembira dan belum bersedia. Sebagai ibu, saya nampak dan boleh rasa perkara itu,” katanya.

Menurutnya, dia tidak mahu terlalu memaksa anaknya memandangkan usia Aurora baru dua tahun.

“Saya juga tak mahu anak ada persepsi berbeza mengenai sekolah. Saya tidak mahu dia anggap sekolah itu adalah satu paksaan.

“Saya mahu dia rasa seronok apabila melalui zaman persekolahan dan pembelajaran dengan mudah serta bersedia,” katanya.

Isteri kepada pelakon dan pengarah, Datuk Farid Kamil ini berkata, ada sesetengah ibu bapa perlu menghantar anak ke pusat jagaan kanak-kanak kerana mereka perlu bekerja dan tiada sesiapa yang akan menjaga.

“Saya ada ibu dan pembantu yang boleh menjaga anak. Kadang-kadang, jika saya ada kerja yang perlu diselesaikan, suami akan tolong menjaga mereka,” katanya.

Ditanya mengenai cara dia mendidik anak, Diana berkata, dia adalah ‘ibu harimau’ ketika di rumah.

“Sama seperti ibu Asia yang lain, saya mendidik anak mengikut cara Timur. Saya akui, saya adalah ‘ibu harimau’ dan sedikit garang berbanding Farid.

“Bagaimanapun, ada ketikanya saya memerlukan Farid untuk menegur anak. Kami akan terangkan apa yang betul dan apa yang salah kepada mereka,” katanya.

Mereka yang berkahwin pada 2012 dikurniakan dua anak iaitu Muhammad, 5, dan Aurora.

Terbaru, Diana kini bergelar pengacara untuk program bual bicara di ntv7, Kata Serasi bersama Naz Rahman.

“Dalam program itu, kami membicarakan perkara mengenai perhubungan, gaya hidup dan banyak lagi. Selain itu, kami juga selitkan perkara relevan yang terjadi di persekitaran kita,” katanya.

Menurut Diana, dia berterima kasih kepada Naz yang banyak membantunya supaya tidak kekok beraksi untuk program secara langsung itu.

“Naz banyak memberikan input kepada saya untuk memastikan pengacaraan saya lancar dan tidak nampak kekok,” katanya.

Selain itu, dia juga akan hadir dengan single terbaru berjudul Infiniti hasil ciptaan komposer dan penyanyi dari Singapura, Reyza Hamizan.

“Insya-Allah, lagu ini akan dilancarkan tak lama lagi. Secara ringkas, ia bercerita mengenai cinta dan ketuhanan,” katanya.

Disiarkan pada: March 30, 2018 @ 3:40am
d