utama

Seludup telefon guna dron

Oleh Reuters

Hong Kong: Pihak berkuasa China menumpaskan sindiket menggunakan dron untuk menyeludup telefon bimbit bernilai lebih HK$620 juta (RM304 juta) dari Hong Kong ke Tanah Besar China.

Menurut Reuters yang memetik laporan media China semalam, kumpulan berkenaan menggunakan dron untuk menerbangkan kabel sepanjang 200 meter dari Hong Kong ke puncak bangunan atau rumah di sebelah Tanah Besar bagi memindahkan beg mengandungi telefon.

South China Morning Post melaporkan pihak berkuasa China menahan 26 orang di Shenzhen dan merampas dua dron serta 4,000 telefon bimbit bernilai HK$20 juta (9.8 juta).

Kastam Hong Kong pula merampas 900 telefon bimbit bernilai HK$4.5 juta (RM2.2 juta) dan menahan tiga lelaki di sebuah rumah berhampiran sempadan.

Kumpulan itu dilaporkan beroperasi sejak enam bulan lalu, dan menurut China Daily, pegawai kanan agensi anti-penyeludupan Wenjindu, Chen Liang berkata, mereka beroperasi selepas tengah malam hingga 5 pagi.

“Setiap hari mereka memindahkan antara 10,000 hingga 15,000 telefon bimbit, kebanyakannya iPhone yang diperbaiki merentas sempadan.

“Memandangkan mereka beroperasi 15 hari sebulan, pendapatan bulanan dianggarkan lebih 10 juta yuan (RM6.2 juta),” katanya.

Sementara itu, Global Times memetik sumber kerajaan tempatan berkata, kumpulan itu mengambil masa kurang seminit untuk menghantar beg berisi 20 telefon bimbit dari Hong Kong ke Shenzhen dengan lebih 200 beg dihantar setiap malam.

Disiarkan pada: March 31, 2018 @ 4:43am
d