utama

Kecederaan ragut semangat Lallana

Oleh Agensi

Liverpool, England: Pengurus Liverpool, Juergen Klopp menyatakan tonggak tengahnya Adam Lallana berada dalam keadaan ‘patah semangat’ selepas mengalami kecederaan terbaru yang akan menjejaskan peluangnya beraksi untuk England di Piala Dunia.

Lallana dibawa masuk sebagai pemain gantian pada babak kedua ketika Liverpool menewaskan Crystal Palace 2-1 kelmarin, tetapi hanya bertahan lima minit sebelum diusung keluar kerana masalah hamstring.

“Ia tidak bagus, dia nampak patah semangat semasa di bilik persalinan,” kata Klopp. “Ia pasti tempoh yang sukar buatnya, saya tidak pasti mengenai kecederaan itu, tapi lebih kepada masalah kecederaan otot.”

Lallana hanya membuat 13 penampilan musim ini sesudah terlepas empat bulan pertama kempen gara-gara kecederaan paha.

Pemain kebangsaan England itu menjadi watak penting buat Klopp sejak dua musim lalu dan sedang berusaha keras untuk kembali memikat hati pengendali England, Gareth Southgate untuk kembali disenaraikan ke dalam skuad.

Lallana kini hampir pasti akan terlepas kedua-dua aksi suku akhir Liga Juara-Juara bertemu Manchester City dalam tempoh 10 hari akan datang.

Sementara itu, Klopp mengakui penjaring gol penyamaan Liverpool, Sadio Mane bernasib baik tidak dikenakan layangan kad merah selepas kelihatan sengaja menyentuh bola dengan tangan selepas mengutip kad kuning kerana kesalahan sengaja menjatuhkan badan.

“Untuk kad kuning pertama saya fikir dia bukan sengaja menjatuhkan badan, ada sedikit sentuhan pemain lawan ke atasnya.

“Tapi, untuk kesalahan kedua, Sadio seperti dikasari. Namun, dia membuat kesilapan apabila cuba memegang bola kerana merasakan ada kesalahan biarpun sebaliknya yang berlaku.”

Disiarkan pada: April 2, 2018 @ 7:31am
d