utama

Ada ingin memperisterikan Nana tapi...

Oleh Syafil Syazwan Jefri

PENYANYI, pelakon dan pengacara, Siti Nordiana, 34, tidak menafikan pernah menerima pelawaan untuk menjadi isteri lelaki yang sudah berumah tangga.

"Saya tak nafikan ada mempelawa dan ingin memperisterikan saya dan ada antaranya dihantar menerusi Direct Mesej (Mesej Terus) di Instagram.

"Tapi, pelawaan itu adalah daripada lelaki yang sudah berumah tangga dan niatnya adalah untuk menjadikan saya isteri kedua," katanya kepada Harian Metro.

Siti Nordiana atau lebih mesra disapa sebagai Nana bagaimanapun tidak menerima pelawaan itu kerana memahami perasaan wanita.

"Saya wanita dan saya faham, tidak ada wanita yang mudah untuk berkongsi. Jadi, kerana faham, saya menolak dan sedaya upaya cuba elakkan situasi sebegitu," katanya.

Nana ditemui pada majlis pelancaran single dan video muzik terbarunya, Hatiku Milikmu berkata, dia ada menerima nasihat daripada beberapa teman sekiranya berdepan situasi sebegitu.

"Antara nasihat saya dapat adalah sekiranya saya bergandingan dengan pelakon lelaki yang sudah beristeri, kalau layanan diberikan kepada saya lebih daripada apa yang sepatutnya, saya kena sedar hal itu.

"Ini untuk memastikan tindakan itu tidak berpanjangan dan menimbulkan masalah lain pula," katanya.

Terbaru, video muzik single baru ciptaannya yang dimuat naik ke YouTube pada 3 petang tadi mula mencecah jumlah tontonan sehingga hampir 10,000.

Disiarkan pada: April 2, 2018 @ 6:47pm
d