utama

Kehadiran Zara tenangkan hati

Oleh Norhayati Nordin

Pelakon Hafreez Adam, 28, sebelum ini pernah mengambil pendekatan tidak mahu berbicara dan berkongsi kisah peribadinya seperti percintaan.

Namun, barangkali faktor usia yang makin meningkat dan dia juga kini sudah sedia memikirkan perancangan masa depan, Hafreez tampil untuk berkongsi kisah cinta di hatinya.

Ternyata, pemilik nama sebenar Hafreez Adam Aizat Zahalan ini tidak mampu mengelak hadirnya ‘cinta lokasi’ yang berjaya menambat hati membabitkan dia dengan pelakon Zara Zya, 33.

Semuanya terjadi tanpa diduga selepas mereka digandingkan dalam drama telenovela 80 episod, MonaLisa terbitan Radius One Sdn Bhd.

Drama adaptasi siri TV popular Korea Selatan pada 2013, Two Women’s Room itu kini disiarkan di Astro Prima untuk slot Tiara hasil arahan Shahrulezad Mohameddin dan Uchee Fukada.

Mengungkap kisah cintanya dengan Zara, pelakon drama Shhh... I Love You di TV3 ini berkata, menang tidak dinafikan lokasi penggambaran drama MonaLisa menjadi titik permulaan hubungan rapat di antara dia dan Zara.

“Dalam drama MonaLisa itu, saya melakonkan watak Cef Adam Hakim dan Zara pula sebagai Melissa. Pada mulanya kami tidak banyak babak bersama.

“Namun, mungkin juga disebabkan sudah berbulan-bulan menjalani penggambaran, kami akhirnya boleh berkawan baik dan rapat.

“Terus terang, saya selesa dengan Zara kerana dia seorang yang sangat ceria dan begitu komited dalam kerjayanya, malah senang dibawa berbincang.

“Ditambah sikap yang matang, tegas dan tahu apa diinginkan, Zara banyak membantu lakonan saya di lokasi. Dia juga tidak kedekut ilmu,” katanya.

Mengakui memang dia ambil masa untuk membuat pengakuan ini, Hafreez berkata, ini disebabkan tidak mahu kisah cinta lebih jadi perhatian berbanding kerjaya.

“Bagaimanapun, saya ikhlas dalam menjalin hubungan dengan Zara, jadi ada baiknya juga berterus terang. Saya mengharapkan hubungan ini berakhir ke jenjang pelamin.

“Buat peminat saya dan Zara, doakan yang terbaik buat kami. Saya rasa serasi dengan Zara kerana kami saling menyokong antara satu sama lain,” katanya.

Mengakui dia juga tidak kisah perbezaan usia enam tahun di antara mereka, Hafreez berkata, usia hanya sekadar angka.

Apa yang penting, kata jejaka berkulit sawo matang itu, keselesaan dan keserasian dengan pasangan. Buat masa ini, kehadiran Zara sangat menenangkan hatinya.

‘Saya tak sombong’

Hampir lima tahun berjuang membina nama dan bakat dalam karier lakonan, Hafreez juga pernah didakwa seorang yang sombong.

Ia berlaku disebabkan raut wajah Hafreez yang agak tegas termasuk apabila meletak prinsip tidak mahu berkongsi cerita peribadi.

Mengulas mengenainya, Hafreez yang mula dikenali pada 2014 menerusi drama Bila Hati Berbicara di TV3 memberitahu, ketika itu dia masih kurang pengalaman.

“Saya sebenarnya bukan orang yang sombong, cuma memang tidak mahu kisah peribadi menjadi perhatian berbanding karier. Saya baru nak bermula.

“Ketika itu sampailah hari ini, saya masih perlu berusaha dan bekerja keras untuk menunjukkan bakat lakonan dimiliki. Ia tanggungjawab utama.

“Ditambah pula segala urusan kerja sekarang memang saya kendali sendiri. Jadi, memang tidak bolehlah saya menyombong dengan orang,” katanya.

Menurut Hafreez, dia minta maaf jika tindakannya sebelum ini membuatkan banyak pihak rasa kurang selesa.

“Saya mohon maaf di atas kesilapan diri. Bagaimanapun, sebagai pelakon yang membina karier dalam seni, saya amat meminati apa yang dilakukan sekarang,” katanya.

Hafreez juga menolak dakwaan dia juga mempunyai masalah hubungan kurang baik dengan pelakon Nazim Othman yang juga membintangi drama MonaLisa.

Penggambaran MonaLisa yang dijadualkan berakhir pada bulan ini turut membariskan pelakon lain seperti Mona Allen, Roy Azman, Amyza Adnan dan Fatin Afeefa.

Disiarkan pada: April 3, 2018 @ 3:18am
d