utama

'Bersyukur Allah atur suami lebih muda'

Oleh Norhayati Nordin

PENYANYI dangdut Sheeda, 54, mengakui selesa bersikap terbuka memikirkan perjalanan jodohnya bersama suami, Sukri Hashim, 37.

Ujar penyanyi lagu Angkat Kaki itu, dia sentiasa sedar dengan realiti sebenar kewujudan perbezaan jarak usia ketara 17 tahun di antara dirinya dan suami tercinta.

"Saya tahu suami lebih muda dan untuk itu memang saya perlu akur beberapa perkara yang berkemungkinan boleh berlaku.

"Apapun, setakat ini saya tidak mahu memikirkannya. Saya hanya mahu bersyukur dengan aturan jodoh yang sudah Allah SWT tetapkan buat kami.

"Selama 11 tahun hidup bersama, kehidupan rumah tangga dibina, Alhamdulillah bahagia dan kami dikurniakan seorang anak lelaki, Muhammad Aiman, 10," katanya.

Sheeda atau Rashidah Hamid berkata meskipun usianya lebih matang tetapi tidak sesekali memperkotak katik status suaminya.

"Saya tidak pernah bersikap terlalu dominan terhadap suami kerana tetap menghormati dirinya sebagai ketua keluarga.

"Malah, sebagai isteri saya juga tahu tanggungjawab diri untuk sentiasa menjaga pemakanan dan keperluan suami," katanya

Sheeda pernah berkahwin dua kali sebelum bertemu jodoh dengan Sukri berkata mereka saling hormat menghormati di antara satu sama lain.

"Kami selalu berbincang jika ada masalah rumah tangga. Malah, kami adalah kawan paling rapat dan sering ke mana bersama-sama.

"Saya melihat ukuran kebahagiaan dalam rumah tangga kami tidak terletak pada jarak beza usia atau siapa bersikap dominan.

“Sebaliknya paling utama bagaimana pasangan suami isteri itu mengemudi rumah tangga dibina mereka," katanya.

Sheeda yang juga ibu kepada penyanyi Bienda berkata selain diterima baik suaminya, ibu mentua turut menerima kehadirannya dalam keluarga mereka dengan baik.

Ujarnya, ibu mentua turut menggelarnya 'menantu emas' mungkin dek kerana usia yang jauh jaraknya dengan suami.

Disiarkan pada: April 3, 2018 @ 5:48pm
d