utama

Pendekatan ikut kata hati

Oleh Georgie Joseph

Pertama kali mendengar muzik band ini, pasti mengingatkan pendengar kepada keunikan melodi band seperti Coldplay. Cara pembawaan lagu Kodaline mempunyai identiti sendiri dan mudah tangkap telinga.

Band dari Ireland ini konsisten menghasilkan karya yang tidak lari daripada acuan muzik mereka.

Dianggotai Steve Garrigan selaku vokalis, Mark Prendergast (gitar utama), Vincent May (dram) dan Jason Boland (gitar bass), genre folk indie dan alternatif indie yang dipertaruhkan Kodaline mudah diterima pencinta muzik seluruh dunia.

Berpeluang menemu bual mereka menerusi telefon baru-baru ini, Mark berkata dia tidak tahu bagaimana mahu menjelaskan apa strategi kejayaan mereka.

“Pujian perlu diberikan kepada Steve yang memiliki vokal mengagumkan. Setiap kali nyanyiannya bergabung dengan muzik yang dihasilkan, ia bersatu dengan sempurna.

“Ini terutama apabila mengadakan persembahan secara langsung, ketika itu lagu kami kedengaran jauh lebih indah.

“Saya sendiri tidak tahu bagaimana ia terjadi. Bagaimanapun, kami tidak terlalu mencuba untuk mencipta melodi.

“Hakikatnya, kami suka menghasilkan banyak melodi dan apabila berkenan dengan satu daripadanya, lirik pun akan hadir secara semula jadi,” katanya.

Tampil dengan single baru berjudul Follow Your Fire, Mark berkata transisi muzik mereka kini lebih bagus terutama untuk album ketiga nanti.

Menurutnya, kerjasama dengan beberapa penerbit muzik tersohor banyak membantu Kodaline.

“Kali ini, kami berkolaborasi dengan pemuzik berlainan. Itu yang kami cuba lakukan untuk setiap album.

“Bekerja dengan penerbit seperti Johnny McDaid dan Steve Mac beri dinamik berbeza terhadap karya kami terutama lirik, semuanya terhasil daripada perbualan antara kami.

“Untuk album ini, kami menggunakan pendekatan mengikut kata hati. Apa saja yang terlintas di fikiran kami gunakan sebaik-baiknya dan tidak kisah mengambil masa lama bagi mencantumkan setiap idea,” katanya.

Meskipun mempunyai identiti tersendiri, Kodaline tidak pernah mengetepikan idea pemuzik lain. Sehingga saat ini, mereka sentiasa mencari inspirasi daripada pemuzik hebat lain.

Bagaimanapun, menurut Mark, Kodaline tidak akan melakukan sesuatu di luar kemampuan mereka.

“Pengaruh pemuzik lain semestinya ada. Kami tidak akan mengabaikan muzik yang memenuhi kehendak pasaran.

“Hip hop misalnya, muzik ini paling berpengaruh buat masa ini. Kami tertarik dengan sesetengah melodi yang disuntik dalam genre ini.

“Namun, ia tidaklah merangsang kami untuk menghasilkan lagu hip hop. Begitu juga dengan elemen muzik 60-an yang kami suka. Kesimpulannya, kami dengar semua jenis muzik dan mahu teroka setiap masa,” katanya.

Biarpun disanjung tinggi peminat dan kini berada di puncak populariti, Mark menegaskan Kodaline tidak pernah mendabik dada. Mereka tidak pernah lupa akar umbi dan sentiasa mensyukuri nikmat hidup.

“Terus terang, berada di tahap ini umpama sebuah mimpi. Semestinya ia satu penghormatan apabila muzik kami dihargai dan berjaya meninggalkan kesan di hati pendengar.

“Kami tidak akan lupa asal usul dan sentiasa berpijak di bumi nyata. Meskipun sudah dikenali, kami tidak mengharapkan layanan lebih setiap kali pulang kampung halaman.

“Kami sangat bersyukur apabila keadaan masih sama dan dapat hidup seperti orang biasa di tempat sendiri,” katanya.

Disiarkan pada: April 4, 2018 @ 5:35am
d