utama

'Cico tak bisu' - Uji Rashid

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

PENYANYI popular era 70-an, Uji Rashid meluahkan rasa kesal dengan penularan berita berkenaan keadaan anaknya Cico yang dikatakan bisu dan buta huruf.

“Saya ingin tegaskan di sini, Cico tidak mengalami masalah seperti diperkatakan. Memang saya geram dibuatnya apabila cerita itu timbul dan sengaja diadakan-adakan oleh segelintir pihak tidak bertanggungjawab.

“Saya mengakui Cico ada mengalami masalah selepas dianiaya kawan-kawannya. Secara fizikalnya keadaan Cico okay. Memang dulu dia susah untuk bercakap, tetapi sekarang sudah ada perkembangan positif.

“Dia seperti budak-budak baru belajar. Dulu langsung tidak boleh kenal diri dan mengeja namanya. Racun itu beri kesan terhadap otak, organ dalaman dan kotak suaranya,” katanya kepada Harian Metro.

Cico atau nama sebenarnya Cico Harahap, 40, dikesan berdepan masalah kesihatan selepas keluar bertemu dengan rakannya pada malam 25 Disember 2016.

Dia dikatakan diracun dengan cara meletakkan sesuatu dalam minumannya. Selain rawatan hospital, Uji turut membawa Cico menjalani rawatan perubatan Islam.

Pelbagai ujian turut melanda penyanyi lagu Semakin Hari Semakin Sayang dan Ku Ingin Selalu Disampingmu ini dan terbaru terpaksa memohon rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) kerana tidak mampu membayar sewa kondominium didiaminya sebelum ini dengan bayaran sewa lebih RM1,000 sebulan.

“Sudah banyak pengalaman saya tempuh. Kalau esok saya jatuh, hari seterusnya saya kena bangun kembali demi cucu dan anak saya yang tidak mampu ini.

“Faktor usia yang meningkat jadi faktor utama saya berbuat demikian, selain fikirkan kebajikan Cico dan cucu saya, Rindu Nur Fitrah,” katanya.

Menurut Uji, sebaik berita penderitaannya tular, dia didatangi pelbagai tawaran menyanyi dan berlakon, namun terpaksa menimbangkannya kerana keadaan Cico yang memerlukan perhatian penuh.

“Saya berterima kasih dan menghargai keprihatinan ditunjukkan. Cuma, Cico memang perlukan rawatan secara berterusan dan kadangkala sukar untuk saya terima sesuatu tawaran,” katanya.

Disiarkan pada: April 4, 2018 @ 11:10am
d