utama

'Terakhir sebelum saya pergi' : Elyana

Oleh Sudirman Mohd Tahir

PENYANYI Elyana berharap filem lakonannya, Dukun menjadi peninggalan berharga kepada peminat apabila dia tiada kelak.

Malah Elyana atau Erneelya Elyana Emrizal, 31, yang kini menghidap kanser limfoma tahap empat berkata, setiap apa dilakukan sekarang dianggap karya terakhir daripadanya.

"Apabila filem ini ditayangkan, saya anggap ini adalah karya terakhir dalam bidang lakonan. Apatah lagi selepas disahkan menghidap kanser ini saya ambil keputusan untuk berehat daripada berlakon.

"Penayangan filem ini juga rezeki untuk saya. Meski ia ditayangkan selepas 12 tahun, sekurang-kurangnya ia jadi buah tangan dan pengubat rindu kepada peminat. Walaupun tidak banyak babak, tetapi ia cukup bermakna untuk saya.

"Saya fikir, Dukun adalah produk terakhir sebelum meninggal dunia. Bukan saja filem ini, tetapi apa saja dilakukan sekarang saya ingin tinggalkan kenangan untuk orang terdekat terutama keluarga," katanya kepada Harian Metro.

Elyana yang melakonkan watak Nadia dalam filem itu berkata, setiap kali melihat hasil lakonan atau nyanyiannya dia akan teringat kenangan bersama ibunya.

"Mak selalu ada bersama saya dalam setiap perkara. Dia selalu bawa saya pergi menjayakan persembahan. Malah, dia juga yang selalu berunding soal penggambaran drama atau filem.

"Jadi, banyak kenangan bersama mak. Disebabkan itu, saya sentiasa berfikir masa yang ada ini atau apa saja saya buat sekarang biarlah menjadi memori indah untuk mereka," katanya.

Elyana juga berkongsi, ketika terbabit dalam filem Dukun dia baru berusia 18 tahun dan masih sihat.

Disiarkan pada: April 5, 2018 @ 4:44pm
d