utama

'Kasihmu ibu, tiada galang ganti'

Oleh Togi Marzuki

DUA wanita dari Kampung Parit Haji Wahab, Kayu Ara Pasong, Pontian nekad menjual sambal kacang ikan bilis untuk membantu keluarga membesarkan anak orang kurang upaya (OKU) masing-masing.

Peniaga Nor Haniza Mohd Sidek, 30, ibu kepada Muhammad Adam Redzuan Mohd Nizam, 7, yang menghidap penyakit kepala membesar sejak berusia tiga bulan mengusahakan perniagaan itu sebelum dibantu jirannya, Maya Abd Rahman, 43, yang membesarkan Nodayana Fatihah Mohd Indra, 8, pesakit urat saraf sejak dilahirkan.

Nor Haniza berkata, dia terpaksa memikirkan cara untuk menambah pendapatan keluarga berikutan bantuan kewangan RM350 yang diterima daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Baitulmal (RM500) tidak mencukupi untuk menampung keperluan Muhammad Adam Redzuan.

Menurutnya, disebabkan tidak boleh meninggalkan anak ketiga daripada empat beradik itu, dia nekad memulakan perniagaan kecil-kecilan di rumah.

“Pada mulanya, saya hanya menjual sambal kacang ikan bilis kepada penduduk Kampung Parit Haji Wahab, Kayu Ara Pasong dan syukurlah, mendapat sambutan menggalakkan.

“Selepas itu, ada pelanggan mencadangkan supaya memasarkan sambal kacang ikan bilis ini di Facebook (FB) supaya jualan meningkat.

“Alhamdulillah sejak memuat naik status berkenaan, tempahan mula bertambah hingga saya tidak mampu menerima semua tempahan,” katanya.

Katanya, dia turut mengupah Maya yang turut berdepan masalah sama kerana menjaga anak OKU di rumah dan tidak boleh bekerja.

Bercerita mengenai anaknya, Nor Haniza berkata, selepas menjalani pelbagai rawatan termasuk pembedahan di Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru,

keadaan Muhammad Adam semakin baik, namun tidak secergas kanak-kanak lain.

Katanya, mereka sekeluarga bersyukur diberikan bantuan bulanan, namun jumlah itu masih tidak mencukupi untuk membeli pelbagai keperluan anaknya.

“Harga susu khas yang perlu diminum Muhammad Adam sahaja berharga RM140 setin dan ia boleh bertahan selama empat hari saja. Ia tidak termasuk perbelanjaan lain seperti perjalanan kami ke hospital untuk mendapatkan rawatan, lampin pakai buang dan lain-lain lagi.

“Alhamdulillah, walaupun jualan sambal kacang ikan bilis sebenarnya masih belum cukup untuk membantu kami sekeluarga terutama untuk membesarkan tiga anak yang bersekolah, kami reda dan terpaksa berjimat setiap hari," katanya.

Sementara itu, Maya berkata, dia perlu memberikan tumpuan kepada Nodayana yang juga anak bongsu daripada lima beradik kerana menghidap penyakit saraf.

“Saya dipelawa untuk sama-sama menyediakan sambal kacang ikan bilis dan Alhamdulillah, ia banyak membantu menambah pendapatan.

“Walaupun menerima bantuan RM350 sebulan daripada JKM, wang itu sebenarnya tidak cukup kerana perlu menyediakan pelbagai barang keperluan untuk Nodayana.

“Kami sekeluarga menumpang di rumah ibu mentua, Aminah Abd Kadir, 72, dan lebih menyedihkan dia menghidap kanser payu dara tahap empat,” katanya.

Menurutnya, empat anaknya masih bersekolah dan suaminya, Mohd Indra Muhammed Salleh, 37, turut melakukan pelbagai pekerjaan termasuk mengambil upah membersih kebun, namun pendapatannya belum mencukupi.

Katanya, mereka sekeluarga cuba mengumpul wang untuk membeli kerusi roda bagi kegunaan Nodayana, tetapi sehingga kini masih belum mencukupi," katanya.

Disiarkan pada: April 5, 2018 @ 10:00pm
d