utama

Hatiku untukmu

Oleh Agensi

Beijing: Demi anak, seorang ibu muda dari Yidu, wilayah Hubei, mencuri dokumen peribadinya yang disimpan ibu bapanya bagi membolehkannya menderma sebahagian hati untuk bayinya yang berusia tujuh bulan.

Menurut laporan media China, ibu bapa wanita itu menghalangnya daripada mendermakan hatinya kepada cucu mereka.

Menurut laporan Yidu Television, Jiang Liuxin, 22, terpaksa mencuri dokumen pengenalan daripada simpanan ibu bapanya bagi membuat permohonan untuk mendermakan hati kepada anaknya yang berusia tujuh bulan, Jumaat lalu.

Anaknya yang menghidap demam kuning selepas dilahirkan, kemudian didapati mengalami masalah hati yang serius.

Doktor memutuskan pembedahan pemindahan hati daripada ahli keluarga adalah penyelesaian terbaik kerana fungsi hati bayi terbabit semakin merosot.

Namun keluarga Jiang melarang mendermakan organnya walaupun dia mempunyai wang mencukupi, dipercayai kerana bimbang kesihatannya akan terjejas. Berikutan itu, mereka mengambil dokumen pengenalannya.

“Ibu, ayah, saya minta maaf tetapi tiada pilihan.

“Saya dan suami percaya kami perlu bertanggungjawab sepenuhnya untuk anak kami.

“Saya sanggup melakukan apa saja untuk menyelamatkannya,” katanya dipetik South China Morning Post.

Anaknya sudah menjalani pembedahan itu dan keadaannya bertambah baik.

Disiarkan pada: April 6, 2018 @ 6:25am
d