utama

Bayi 'tawan' 5 gunung

Oleh Kalidevi Mogan Kumarappa

Kuala Lumpur: Dia sudah ‘mendaki’ lebih lima kawasan pergunungan seawal usia enam bulan. Itu pengalaman Noah Hannan yang genap setahun pada 23 Mac lalu.

Anak kepada pasangan Murshid Maktar, 31, dan Amrina Rasyada, 27, ini mula ‘menjelajah’ Gunung Brinchang, Cameron Highlands pada usia enam bulan.

Menceritakan pengalaman itu, Murshid berkata, dia membawa Noah Hannan menjejakkan kaki
di Gunung Irau, Cameron Highlands, Bukit Batu Putih di Tanjung Tuan, Port Dickson sebanyak tiga kali, Peak Garden Setia Alam, Selangor sebanyak lima kali selain Gunung Nuang, Hulu Langat dan Denai Tiga Puteri, Kota Damansara.

Terbaru, pada 9 Mac tahun ini Noah Hannan dibawa ke Gunung Merbabu Jaya, Indonesia yang terletak
di Jawa Tengah dengan ketinggian puncaknya 3,142 meter.

Menurut Murshid, gunung berkenaan memiliki beberapa ‘check point’ dikenali sebagai pos 1, pos 2 dan pos 3.

“Saya terbabit dalam aktiviti pendakian gunung sejak 2012 manakala saya membawa isteri dan anak bersama sejak Noah berusia enam bulan lagi.

“Bagi saya aktiviti lasak bersama anak tidak menjadi masalah sekiranya sudah arif mengenai aktiviti itu selain membuat kajian mengenai tempat yang akan dibawa. Bukan semua gunung sesuai dengan kanak-kanak terutama bayi dan anak saya lebih selesa dan suka apabila dibawa masuk hutan berbanding bersiar-siar di dalam pusat beli-belah,” katanya.

Ditanya mengenai cabaran membawa anaknya ketika mendaki, Murshid berkata, cabaran hanya ketika dia perlu menanggung berat anak dicampur dengan berat dan beg yang secara keseluruhan mencecah kira-kira 20 kilogram.

Mengenai peralatan yang dibawa ketika mendaki bersama keluarga, Murshid berkata, dia membawa peralatan lengkap termasuk khemah, alas tidur, sleeping bag dan lampu suluh.

“Ubat selesema, batuk, demam, pek pemanas, minyak panas, penyembur elak serangga, krim pelindung dan selimut kecemasan turut dibawa.

“Sehari sebelum memulakan pendakian, saya akan berjumpa dengan doktor untuk mendapatkan nasihat kesihatan dan semua bekalan yang perlu dibawa,” katanya.

Bagi keperluan bayi pula, dia dan isterinya sentiasa bersiap sedia dengan membawa barang seperti botol susu, bekas air panas, biskut dan makanan bayi.

Selain itu, barang mainan, bantal ‘busuk’, baju lengan panjang dan tebal, topi, stokin, baby carrier juga dibawa sekiranya diperlukan ketika kecemasan.

“Ramai yang mendakwa rugi untuk mengembara ke tempat yang jauh bersama bayi atau kanak-kanak kerana mereka belum mengerti apa-apa. Tetapi sangkaan itu adalah salah kerana bayi akan mula belajar mengenai benda baru sejak awal lagi termasuk mengenal persekitaran dan alam semulajadi.

“Banyak kajian yang membuktikan bayi atau kanak-kanak yang kerap dibawa mengembara lebih cenderung matang dan pandai bergaul berbanding mereka yang hanya duduk setempat atau asyik dengan gajet.

“Malah, Saidina Umar Al-Khattab sendiri pun mengajak penduduk Syam supaya mengajar anak-anak berenang, memanah dan menunggang kuda, itu juga dikategorikan sebagai aktiviti lasak.

“Semua aktiviti pun ada baik buruknya,” katanya.

Menurutnya, sehingga ke hari ini, anaknya tidak mengalami sebarang masalah sepanjang mengikuti aktiviti bersamanya malah dia nampak lebih ceria.

Disiarkan pada: April 6, 2018 @ 6:39am
d