utama

Enggan perbesarkan isu sensitif

Oleh Najiy Jefri

Nama pelakon kelahiran Singapura, Nadiyah Shahab tiba-tiba meledak apabila dia dihalang memasuki Malaysia kerana tidak memiliki permit kerja, baru-baru ini.

Walaupun kehadirannya ke Malaysia bukan atas urusan kerja, pelakon berusia 26 tahun itu terpaksa akur apabila dia tidak dapat ‘bertandang’ buat seketika sehingga permit kerja baru diperoleh.

Menurut Nadiyah, barangkali kekerapannya ke Kuala Lumpur membuatkan Jabatan Imigresen beranggapan dia menjalani penggambaran drama.

Katanya, tujuannya ke Kuala Lumpur ketika itu hanyalah untuk bertemu tunangnya, Ben Ali dan rakan.

“Buat masa ini saya memang tidak terbabit dengan sebarang penggambaran drama di Malaysia,” katanya.

Menganggapnya sebagai satu pengajaran hidup, pelakon drama Kelip Kelip Kota London itu enggan membesarkan isu berkenaan.

Dia yakin pasti ada hikmah atas apa yang berlaku itu .

“Isu ini sangat sensitif kerana membabitkan periuk nasi saya dan selebriti lain dari Singapura. Bagaimanapun, saya percaya apa yang berlaku sedikit sebanyak dapat membantu saya dan mengubah landskap produksi di Malaysia.

“Barangkali Seniman (Persatuan Seniman Malaysia) dapat mengetahui betapa susahnya anak seni dari luar mahu mencari makan di sini disebabkan tiada produksi yang mahu berikan permit sekiranya penggambaran itu sekadar dijalankan dua hingga tiga bulan.

“Saya sedar bukan mudah untuk memohon permit pekerjaan kerana membabitkan kos dan masa. Saya berharap ada satu penyelesaian baru bagi membantu pelakon luar negara mencari rezeki di Malaysia,” katanya.

Sedih dicemuh netizen

Nadiyah mengakui dia kesal dengan segala cemuhan dan kritikan diterimanya apabila tidak dibenarkan memasuki Malaysia.

Katanya, dia menganggap Malaysia adalah rumah keduanya dan mencintai negara ini. Jadi, dia tidak mahu mencalarkan imej negara ini.

“Jika saya tidak menjalani penggambaran di sini, saya akan tetap berada di Malaysia kerana bakal berkahwin dengan rakyat Malaysia tahun ini dan akan tinggal bersamanya.

“Saya kesal apabila ada segelintir pihak yang melarang ke Malaysia walaupun saya ikhlas untuk menetap di sini. Saya tidak pernah berperangai diva atau melakukan jenayah di sini. Apatah lagi merosakkan nama orang Singapura.

“Saya hanya mencari rezeki yang halal dan tidak mengganggu sesiapa. Saya sedih apabila segelintir netizen meminta saya pulang ke Singapura.

“Ramai rakyat Malaysia bekerja di Singapura. Di universiti tempat saya belajar sebahagian pensyarahnya dari Malaysia. Bagi saya, sesiapa saja berhak bekerja di mana-mana asalkan mematuhi undang-undang,” katanya.

Nadiyah yang enggan memanjangkan isu itu akan mencari jalan terbaik untuk memastikan kehadirannya ke Malaysia berjalan dengan baik dan tidak saling memusuhi.

“Saya akui ramai rakyat Singapura yang mencuba nasib dalam industri hiburan Malaysia. Bagi saya, ia satu perubahan yang baik apabila kita sama-sama dapat meningkatkan ekonomi dan memartabatkan industri tanah air .

“Di Singapura juga, ramai selebriti kelahiran Malaysia diundang untuk berlakon dan bekerjasama untuk membuat persembahan. Jadi, kita seharusnya bersatu dan tidak saling memusuhi,” katanya yang merancang mendirikan rumah tangga dengan pelakon dari Malaysia, Ben Ali, November ini.

Dalam perkembangan lain, Nadiyah kini sibuk menjalani penggambaran drama bersiri di Singapura berjudul K Untuk Kapten.

“Saya juga giat mempromosikan drama terbaru saya berjudul Kelip Kelip Kota London yang kini ditayangkan di TV3,” katanya.

Disiarkan pada: April 6, 2018 @ 9:15am
d