utama

Khidmat terbaik demi rakyat

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

Seremban: Pusat Transformasi Bandar (UTC) pertama di Negeri Sembilan antara simbol kejayaan Kerajaan Pusat dan negeri dalam menyediakan perkhidmatan terbaik untuk rakyat.

UTC yang berfungsi sebagai pusat sehenti bagi pelbagai perkhidmatan kerajaan, swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menjadi contoh terbaik inisiatif Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) yang dilaksanakan kerajaan.

Pusat yang beroperasi di Ampangan di sini menyediakan kemudahan pelbagai urusan membabitkan Kerajaan Pusat dan negeri yang ke-20 dibuka di negara ini.

Ia dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada 30 November lalu.

Pembangunan UTC berkenaan membuktikan keprihatinan kerajaan terhadap pembangunan luar bandar selain meneruskan kemudahan untuk manfaat rakyat.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata projek Kerajaan Pusat itu adalah sebahagian daripada pelan transformasi negara (UTP) bagi kemudahan bersama.

Beliau berkata, sejak beroperasi, UTC Negeri Sembilan memberi banyak manfaat kepada masyarakat terutama di kawasan Ampangan, Paroi serta Kuala Pilah.

Katanya, projek di bangunan milik UDA Holdings Berhad (UDA) itu membabitkan kos kira-kira RM34 juta dan proses ubah suai bangunan berkenaan dibuat berikutan lokasinya yang strategik selain mempunyai kemudahan asas serta pengangkutan awam.

Bangunan itu menempatkan 15 agensi kerajaan bagi memudahkan orang ramai berurusan di bawah satu bumbung.

“Penambahan penduduk dan pembangunan kawasan sekitar yang semakin rancak, membuatkan kawasan itu dilihat paling sesuai untuk pembinaan UTC yang memudahkan orang ramai berurusan terutama pada hari bekerja dan cuti hujung minggu.

“Malah Medan Selera Ampangan yang hampir ‘mati’ sebelum ini kini hidup kembali dan dikunjungi pelanggan,” katanya.

Mohamad berkata, Perdana Menteri ketika perasmian bangunan itu turut mengumumkan kelulusan pembinaan jejantas dari UTC ke Medan Selera Ampangan bagi kemudahan pengunjung.

Menurutnya, beliau sudah meluluskan reka bentuk jejantas itu yang dijangka pembinaannya dalam masa terdekat.

Selain UTC, negeri itu turut menerima manfaat dengan pelbagai projek kerajaan termasuk pembangunan Lembah Wawasan Malaysia (MVV) di kawasan seluas 108,000 hektar meliputi Seremban, Nilai dan Port Dickson.

Disiarkan pada: April 7, 2018 @ 8:13am
d