utama

Anne tambah berat badan

Oleh Syafil Syazwan Jefri

Bergelar selebriti gred A di Hollywood tidak semestinya disukai semua orang, bahkan akan ada juga yang membenci.

Bagi Anne Hathaway, walaupun lakonannya hebat dan memiliki paras rupa anggun, kesalahannya sentiasa dicari dan disebut.

Terbaru, bintang filem The Devil Wears Prada itu berdepan kecaman netizen yang mengatakan dia semakin gemuk.

Menerusi akaun Instagramnya semalam, Anne memuat naik video menunjukkan rutinnya di gimnasium bersama jurulatih kecergasan berserta kapsyen menjelaskan kenapa berat badannya naik.

“Saya menaikkan berat badan untuk menjayakan satu watak dalam filem terbaru dan proses itu berjalan dengan lancar,” tulisnya.

Menurutnya, jika ada yang sengaja menjadikan isu berat badannya sebagai satu masalah, itu bukan masalah buatnya.

“Kepada mereka yang sering mempertikai mengenai saiz tubuh saya dan sebagainya dalam masa beberapa bulan ini, itu masalah mereka dan bukan saya,” katanya.

Video bersama kapsyen itu menerima lebih 100,000 ‘like’ di samping 2,000 komen daripada netizen dan pengikutnya.

Bulan lalu, Anne dikritik hebat selepas memuat naik semula gambar lamanya ketika hadir ke Academy Awards 2013.

“Saya terpaksa menukar pakaian pada saat akhir,” katanya.

Bukan perkara baru, sejak lima tahun lalu, Anne sudah berdepan isu kecaman ini dan dia sendiri menjadi ‘kebal’ berdasarkan pengalamannya.

Dalam satu temu bual tahun lalu, Anne menjelaskan bahawa dia tidak menghiraukan komen-komen negatif.

“Bukan kerana kulit saya terlalu tebal atau apa. Bagaimana dunia melihat saya dan bagaimana orang melayan saya, tidak ada kena mengena dengan saya.

“Namun, kalau kritikan yang diberikan benar-benar masuk akal dan disertakan dengan pendapat bernas, saya akan mempertimbangkannya,” katanya.

Disiarkan pada: April 7, 2018 @ 11:51am
d