utama

Taridra serikan acara fesyen

Oleh Rudy Imran Shamsudin

Sebelum pertunjukan fesyen bermula dan sebaik lampu sorot disuluh, Izara Aishah melangkah masuk ke dalam Stadium Chin Woo yang dihias indah ala Istana Agra. Dengan tertib pelakon jelita itu terus ke tempatnya dan duduk bersebelahan suami tercinta, Adib Khalid.

Setiap hadirin di majlsi pertunjukan fesyen sudah maklum, tahun ini pereka fesyen terkenal Datuk Rizalman Ibrahim memilih Izara sebagai sumber ilham ‘muse’ untuk koleksi Aidilfitri.

Namun kejutan berlaku sebaik saja semua koleksi selesai diperagakan. Sekumpulan penari masuk apabila lagu Hindustan bergema, dalam kemeriahan sekumpulan pelakon wanita menarik tangan Izara lalu drama pun bermula.

Hadirin terpegun menyaksikan drama tari yang dipersembahkan Izara bersama penari pengiring. Gerak tubuh seiring muzik bergema membuatkan mata tidak beralih dari pentas.

Ini kali pertama pertunjukan fesyen menyelitkan elemen pementasan muzikal yang berkisar kisah kekeluargaan iaitu kasih seorang anak terhadap bapanya.

Bakatnya sebagai penari terserlah dan ternyata Izara atau nama sebenarnya Nik Izara Aishah Nik Izazurin, berjaya membuktikan asas ilmu tari yang dimiliki sebelum ini tidak pernah tumpul.

Ditemui sebaik acara selesai, Izara berkata, dia berlatih hampir tiga minggu bagi menjayakan persembahan yang diilhamkan oleh Rizalman sendiri.

Bercerita lanjut proses menjayakan pementasan muzikal terutama dalam menjayakan tarian itu, kata Izara, sebagai penari sudah tentu dia berasa teruja apabila Rizalman mempelawanya menjayakan persembahan dirancang.

“Saya menghormati Rizalman kerana dia selalu berfikir di luar kotak. Buktinya lihat saja hari ini. Siapa boleh terfikir untuk menggabungkan pertunjukan fesyen dengan seni persembahan muzikal dan tarian.

“Walaupun penat kerana harus berlatih hampir setiap hari, saya berasa sangat puas. Di Malaysia peluang untuk menjayakan pementasan seperti apa yang dilakukan di pertunjukkan Rizalman ini amat kurang.

“Saya memang suka seni tari dan apabila diberikan peluang, saya tidak melepaskannya. Lebih daripada itu saya langsung tidak terasa penat kerana dapat melakukan apa yang saya suka,” katanya.

Tambahan pula, kata Izara, persembahan bertemakan Bollywood itu sangat dekat dengan dirinya kerana keluarganya ada campuran darah Pakistan.

“Keluarga saya sendiri, setiap kali sambutan hari raya akan memakai pakaian tradisional sut Punjab yang lengkap. Kemeriahan dalam majlis dianjurkan keluarga tidak banyak beza dengan apa yang dipentaskan oleh Rizalman.

“Jadi, sudah tentu kedekatan itu wujud dan ia membuatkan saya begitu bersemangat dengan persembahan yang dilakukan,” katanya

Bercerita lanjut mengenai pemilihannya sebagai ‘muse’ pada rekaan fesyen koleksi Aidilfitri Rizalman pada tahun ini, Izara berkata sudah tentu dia berasakan ia satu penghormatan.

“Sebenarnya, sewaktu majlis perkahwinan saya lagi dirancang sepenuhnya oleh Rizalman dan menerusi itu dia memberitahu yang dia mempunyai ilham untuk koleksi bajunya dan mahu menjadikan saya sebagai sumber ilham. Saya terharu dan tidak keberatan untuk bersama-sama menjayakan projek dilakukan kali ini,” katanya.

Rizalman pula menjelaskan setiap kali apabila mahu mengadakan pertunjukan fesyen, dia akan cuba mencari kelainan agar apa yang mahu dipersembahankan itu segar dan memberi impak.

“Tahun ini saya memilih inspirasi India, kerana seperti yang ramai sedia maklum masyarakat kita mengalami asimilasi sehingga wujud budaya campur. Malah kita tidak canggung untuk memakai pakaian tradisional mana-mana kaum pada kala menghadiri majlis rasmi atau tidak rasmi.

“Daripada situ saya mendapat ilham untuk menggabungkan pakaian tradisional Melayu dan masyarakat India. Jadi, apabila mahu mengadakan pertunjukan fesyen, saya memilih untuk mempersembahkan dalam bentuk seni persembahan,” katanya.

Menjelaskan mengenai pemilihan Izara sebagai ‘muse’, katanya, ilham untuk bekerjasama dengan pelakon yang popular menerusi filem J Revolusi itu datang sewaktu dia menguruskan perkahwinan pelakon jelita terbabit.

“Satu perkara menarik mengenai Izara adalah, dia ada rupa yang cantik tetapi dia tidak tahu yang dia itu cantik. Saya suka bekerja dengan orang seperti itu.

“Saya tahu Izara juga gemar menari dan sedang elok apabila saya mahu menggabung­kan seni persembahan dalam pertunjukan fesyen kali ini,” katanya.

Menceritakan keseluruhan konsep persembahan yang dilakukan Rizalman berkata, dia cuba menggabungkan fesyen, seni dan budaya dalam satu masa.

“Mengenai idea ini pula sebenarnya ia bukan datang daripada saya tetapi ini adalah ilham yang didatangkan Allah SWT dan memberikan kelebihan kepada saya untuk menzahirkan konsep yang dipersembahkan pada hari ini,” katanya.

Cabaran untuk mengetengahkan konsep persembahan dan pertunjukan fesyen dalam waktu sama tidak mudah kerana apabila persembahan dibuat secara langsung, tidak boleh ada sedikit pun kesilapan.

“Begitupun, dalam zaman teknologi moden ini, apabila peminat memberi komen dan kata-kata semangat menerusi laman sosial, ia membuatkan saya bersemangat untuk menzahirkan idea yang sudah dirancang selama beberapa bulan ini,” katanya.

Disiarkan pada: April 8, 2018 @ 4:03am
d