utama

Strategi penyuraian trafik

Oleh Amir Mamat

Melaka: Masalah kesesakan jalan raya yang sering menjadi rungutan pengguna terutama pada hujung minggu dan cuti umum di Melaka bakal diatasi sepenuhnya tidak lama lagi.

Ia susulan pelaksanaan beberapa projek penyuraian trafik yang giat dibangunkan di kawasan tumpuan seperti di Ayer Keroh dan kawasan pusat bandar, sekali gus mampu memberi kelegaan kepada pengguna terutama pelancong ke negeri ini.

Pembinaan dua jejambat mempunyai enam lorong, dua hala di persimpangan Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di Ayer Keroh ke Jalan Ayer Keroh Lama menuju ke pusat bandar, dilihat signifikan kepada penyuraian trafik di kawasan terbabit.

Jejambat kedua turut dibangunkan di Peringgit berhampiran Memorial Tun Ghafar Baba. Kedua-dua projek mega itu bernilai RM300 juta.

Susulan pembangunan dua jejambat berkenaan, kerajaan negeri turut merancang membina beberapa lagi projek penyuraian trafik di kawasan tumpuan termasuk di hadapan Hospital Pantai di Jalan Ayer Keroh Lama, persimpangan air terjun Bukit Baru dan hadapan Masjid Al-Azim.

Selain itu, pembinaan lebuh raya pesisir pantai di Limbongan-Klebang sejauh 6.3 kilometer bernilai RM9.45 juta yang dijadikan laluan alternatif ke Dataran 1Malaysia Klebang pula mampu mengatasi kesesakan lalu lintas di bandar raya Melaka, khususnya pada cuti hujung minggu dan cuti umum.

Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron berkata, kerajaan negeri memandang serius berhubung masalah kesesakan lalu lintas di Melaka kerana ia berkaitan dengan keselesaan rakyat keseluruhannya.

“Kami melaksanakan pelbagai usaha bagi mengatasinya (kesesakan jalan raya) sejak dulu, namun penyelesaian tidak berlaku serta-merta, sebaliknya secara berperingkat-peringkat.

“Projek lebuh raya pesisir pantai di Limbongan-Klebang dibangunkan secara Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) antara kerajaan dan swasta yang turut melaksanakan pelbagai projek di lokasi penambakan laut di situ (Klebang).

“Pembinaan lebuh raya itu bukan saja dapat menyuraikan kesesakan jalan raya di kawasan bandar, malah mampu meningkatkan ekonomi penduduk dan memajukan sektor pelancongan negeri,” katanya.

Bagi memperkemaskan lagi sistem pengangkutan darat di kawasan bandar, kerajaan Persekutuan menerusi Jabatan Kerja Raya (JKR) meluluskan pembinaan empat jejantas bermula dari pasar raya Tesco di Cheng ke Pulau Gadong di sini.

Menerusinya, Idris berkata, ia sekali gus dapat mengatasi masalah kesesakan di Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) yang mempunyai banyak lampu isyarat.

“Perancangan untuk mengatasi kesesakan dibuat mengikut tiga peringkat iaitu jangka pendek meliputi tempoh antara tiga ke lima tahun, jangka sederhana (15 hingga 20 tahun) dan jangka panjang (35 hingga 50 tahun),” katanya.

Kerajaan negeri juga meminta Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) mengkaji keperluan membina sebuah lagi persimpangan bertingkat menghubungkan Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) bagi mengurangkan beban di tiga pintu masuk tol utama ke Melaka.

Cadangan persimpangan bertingkat itu adalah di Ayer Panas atau Bemban, Jasin berikutan pembangunan pesat yang berlaku di daerah itu terutama dalam sektor perumahan.

“Pembinaan projek dianggarkan bernilai RM100 juta itu bertujuan memastikan Jasin tidak ketinggalan menerima kemudahan akses kepada lebuh raya walaupun sudah ada satu persimpangan bertingkat di Lipat Kajang.

“Saya yakin, jika kita mempunyai satu pintu masuk baru yang menghubungkan lebuh raya dengan Jasin, ia sekali gus menjadi katalis kepada kemajuan lebih drastik di daerah ini, termasuk kawasan sekitarnya,” kata Idris.

Gembira dapat kemudahan terbaik

Penduduk di negeri ini menyambut baik projek penyuraian trafik yang giat dibangunkan kerajaan negeri bagi mengatasi kesesakan lalu lintas.

Mahmood K Ahmad, 68, berkata, pelaksanaan projek itu wajar kerana dapat menyuraikan kesesakan lalu lintas di bandar Melaka dan beberapa kawasan sekitarnya.

Katanya, pembinaan jejambat di persimpangan MITC dan Peringgit itu jelas menunjukkan kecaknaan kerajaan Barisan Nasional (BN) bagi memastikan rakyat mendapat kemudahan terbaik.

“Ini kerana bukan saja menjadi mercu tanda baru pembangunan di negeri ini, tetapi dapat menyelesaikan masalah kesesakan yang sering berlaku, khususnya pada waktu puncak.

“Saya gembira dengan keprihatinan ditunjukkan kerajaan menerusi penyediaan peruntukan besar bagi memberikan kemudahan kepada rakyat,” katanya.

Mohd Najib Othman, 35, pula berterima kasih kepada kerajaan yang membuat keputusan untuk menyelesaikan masalah yang membelenggu pengguna jalan raya di Melaka selama ini.

“Selain menyelesaikan masalah kesesakan, pembinaan itu juga secara tidak langsung mampu merancakkan lagi kemasukan pelancong ke negeri ini, sekali gus dapat mengembangkan ekonomi setempat,”katanya.

Disiarkan pada: April 9, 2018 @ 9:01am
d