utama

'Semua hasil 'showcase' untuk mereka'

Oleh Najiy Jefri

PENYANYI Saleem akan menyalurkan sepenuh hasil penjualan tiket bagi Showcase Saleem Raja Balada - Syokk Ooo kepada penggiat seni yang mengalami masalah kesihatan dan kesempitan hidup.

Saleem berkata, dia terpanggil mengadakan showcase julung kali diadakan pada 20 April depan di Auditorium Pusat Pelancongan Malaysia (Matic), Kuala Lumpur selepas terlantar sakit di hospital hingga mengalami masalah kewangan pada awal tahun ini.

“Ketika Allah izinkan saya kembali sembuh dari penyakit, saya terkenang saat kesusahan untuk membayar rawatan perubatan kerana tidak dapat bekerja.

“Ketika itu Allah hadirkan ramai individu yang berhati mulia dengan memberikan sumbangan bagi membiayai kos rawatan.

“Justeru ia memberi saya inspirasi untuk mengadakan sebuah showcase amal bagi membantu rakan-rakan di dalam industri hiburan yang berjuang dengan kesakitan serta rakan-rakan artis yang tidak mempunyai pekerjaan,” katanya

Menurut Saleem, pihaknya akan bekerjasama dengan Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN) bagi mengagihkan bantuan itu kelak.

“Buat masa ini, kami belum memutuskan individu yang bakal menerima sumbangan terbabit, tetapi kami akan bekerjasama dengan SENIMAN untuk memudahkan urusan pengagihan duit jualan tiket ini.

“Insya-Allah dengan rezeki yang Allah kurniakan ini, saya akan cuba salurkan kepada seberapa ramai yang mampu. Moga segala urusan dipermudahkan,”katanya.

Sebanyak 400 tiket akan dijual dengan harga RM150. Bagi yang berminat boleh menghubungi talian +60193387115 (Mas Anizah).

Disiarkan pada: April 9, 2018 @ 3:00pm
d