utama

Kelebihan tersendiri 2 bintang

Oleh Syafil Syazwan Jefri

Memenangi hati peminat tentunya menjadi modal utama setiap artis selain meraih perhatian menerusi bakat.

Dua bintang popular, Khai Bahar dan Neelofa, berjaya mencuri perhatian ramai peminat malah mereka ada sokongan yang kuat dalam bidang masing-masing.

Disebabkan itu jugalah dua permata ini dijulang sebagai penerima anugerah Top Top Meletop kategori lelaki dan wanita di Anugerah Meletop Era 2018 (AME2018) yang berlangsung, kelmarin.

Khai yang baru setahun jagung mencanai bakat sebagai penyanyi berkata kemenangan itu di luar jangkaannya.

“Alhamdulillah. Tahun lalu, saya cuma menang satu kategori tetapi tahun ini rezeki saya lebih.

“Terima kasih diucapkan kepada peminat yang tidak jemu-jemu menyokong saya sejak awal pembabitan dalam bidang seni.

“Bukan saja peminat Malaysia, saya juga ucapkan terima kasih kepada peminat dari Indonesia yang gigih menyokong saya,” katanya.

Walaupun sering memenangi anugerah yang membabitkan undian penonton, Khai turut menyimpan impian untuk menggondol anugerah berdasarkan bakatnya.

“Tentunya saya mahukan yang terbaik dalam kerjaya seni. Bagi anugerah berdasarkan undian peminat, saya dah berjaya buktikan kemenangan.

“Jadi, sekarang hasrat dan impian saya adalah untuk melakukan lebih baik. Saya mahu anugerah terbaik pula yang kemenangannya ditentukan juri profesional,” katanya.

Bagi Neelofa pula, ini bukanlah kali pertama dia menggenggam trofi anugerah itu. Namun, dia sendiri mengakui kehadiran artis baru tidak boleh dipandang remeh.

Pengacara dan pelakon berusia 30 tahun itu juga menganggap peminatnya sangat kuat dan tidak pernah berhenti menyokongnya walaupun berdepan pelbagai kecaman.

“Saya sentiasa menerima pelbagai kecaman dan kritikan daripada masyarakat. Namun, terima kasih kepada peminat yang sentiasa menyokong dan selalu berada di belakang saya.

“Saya sudah lima tahun bersama Meletop dan ini kemenangan kedua. Namun, saya tidak memandang rendah artis baru memandangkan mereka punya ramai peminat,” katanya.

Ditanya bagaimana dia berdepan semua kecaman dan terus kuat, Neelofa mendedahkan dia pernah menangis namun cuba untuk tidak berputus asa.

“Tentunya sebagai manusia, saya pernah menangis apabila dihentam dari semua arah. Kalau tak kuat, mungkin dah tinggalkan semuanya dan abaikan diri saya.

“Tapi, saya fikir dan lihat banyak aspek. Saya fikir mengenai mereka yang sentiasa menjadi tulang belakang dan sumber kekuatan saya,” katanya.

Apa yang pasti, dua bintang ini berbakat dan mempunyai kelebihan tersendiri dalam cabang seni yang diceburi.

Mereka juga mahu menjadi inspirasi buat peminat, sekali gus mengalirkan aura positif kepada semua yang melihat mereka sebagai ikon.

Disiarkan pada: April 10, 2018 @ 5:56am
d