utama

Cipta tangan palsu sendiri

Oleh Nor Farhani Che Ad

Sungai Petani: Minat mendalam terhadap kerja membaiki dan pengubahsuaian motosikal menjadi pendorong kepada Mohd Rahmat Abd Somat, 25, bergelar graduan dalam bidang Seni Reka Perindustrian di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kedah walaupun dirinya terdiri sebagai orang kurang upaya (OKU).

Mohd Rahmat yang lahir tanpa jari pada kedua-dua tangan dan tapak kaki di sebelah kaki kiri, membuktikan kecacatan bukan halangan kepadanya untuk bergelar graduan.

Lebih membanggakan, anak bongsu daripada lima beradik itu turut dinobatkan sebagai pereka terbaik Fakulti Seni Lukis dan Reka UiTM Kedah untuk projek menghasilkan produk tangan palsu dan replika kereta pada 2016.

Pemuda dari Alor Setar itu mengakui pada awal pengajiannya di UiTM Kedah, dia sering disindir penuntut lain apabila kerap meminta pertolongan beberapa rakan baiknya dalam menyiapkan tugasan diberikan pensyarah.

“Tidak dinafikan pada awal semester beberapa rakan banyak membantu saya seperti memegang model rekaan memandangkan saya belum lagi biasa mengendalikannya sendiri sehingga ada penuntut lain memandang serong dengan hasil rekaan saya.

“Namun, perkara itu tidak mematahkan semangat saya untuk terus fokus dalam pengajian sehingga saya berjaya melakukan segalanya sendiri tanpa bantuan orang lain,” katanya ketika ditemui pada majlis Istiadat Konvokesyen UiTM Ke-88 di UiTM Kedah di sini, semalam.

Mohd Rahmat berkata, minatnya dalam bidang seni reka bermula dengan berjinak-jinak membaiki motosikal di bangku sekolah.

“Keadaan saya tidak sama seperti orang normal lain yang mempunyai anggota tangan sempurna untuk membaiki motosikal.

“Sejak itu saya mula menyimpan hasrat menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi supaya dapat menggunakan ilmu dipelajari dalam kehidupan harian saya.

“Jadi, saya mengambil keputusan menyambung pengajian di peringkat sijil dalam bidang Membaiki dan Penyelenggaraan Motor Bot di Kolej Komuniti sebelum menyambung pengajian di peringkat diploma di UiTM Kedah dalam bidang Seni Reka Perindustrian,” katanya.

Mohd Rahmat berkata, ilmu dipelajari di UiTM memberi kelebihan kepadanya untuk mencipta tangan palsu khas untuk memudahkan urusan kerja dan tugasan hariannya.

“Selepas tamat pengajian, saya mula mencipta dua model tangan palsu untuk kegunaan sendiri iaitu tangan palsu bagi kerja kimpalan dan tangan palsu untuk makan menggunakan sudu,” katanya.

Mohd Rahmat berkata, dia tidak keberatan berkongsi model tangan palsu dihasilkannya itu dengan golongan senasib dengan sekiranya mereka berminat.

Disiarkan pada: April 10, 2018 @ 6:46am
d