utama

Saharul 'delete'... kalau tak gaduh

Oleh Syafil Syazwan Jefri

PELAKON, Saharul Ridzwan, 29, memilih untuk memadam komen-komen negatif di Instagramnya bagi mengelakkan timbul perselisihan faham sekaligus menimbulkan pergaduhan.

Pelakon popular menerusi drama Hati Perempuan itu berkata, dia tidak mahu laman Instagramnya menjadi medan kepincangan dan perbalahan.

“Beberapa hari lalu contohnya, saya ada memuat naik gambar isteri saya yang sedang mendukung anak kami.

“Pada saya, tiada apa yang salah mengenai gambar itu. Namun, ada netizen tidak senang dan menulis komen yang bukan-bukan,” katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, ada komen yang ditulis mengatakan bahawa isterinya berpakaian yang tidak bersesuaian dan bajunya di atas paras pinggul.

“Dalam gambar itu, isteri saya mendukung anak kami dan mungkin, bajunya sedikit terangkat. Tapi, tidaklah sehingga menampakkan bahagian perut atau apa.

“Saya sempat membalas komen negatif itu dan ada beberapa netizen lain yang membela saya.

“Dalam pada membela saya, mereka mengecam individu yang menulis komen negatif itu dan mulalah timbul perbalahan,” katanya.

Bagi meredakan keadaan, Saharul memilih untuk memadam gambar isterinya, Qaabila Deena Emir dan anaknya, Muhammad Luth Ali.

“Itu saja cara untuk saya memuaskan hati mereka dan saya sendiri pun tak mahu benda itu berlarutan. Nanti takut timbul isu lain pula,” katanya.

Disiarkan pada: April 10, 2018 @ 2:26pm
d