utama

'Naluri kata dia sudah tiada...'

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

“SAYA hanya menangis ketika melihat muka dan badan anak sudah bertukar biru serta tidak sedarkan diri. Ketika itu, naluri saya berkata dia sudah tiada."

Begitu kata Nur Syazwanie Mustaffa, 27, ibu kepada bayi lelaki yang meninggal dunia selepas ditemui tidak sedarkan diri dalam buaian di rumah pengasuh di Bandar Sri Saujana, Sungai Buloh, Jumaat lalu.

Dalam kejadian pada 10 pagi, Mikhael Sufyan Muhammad Syafiq, 10 bulan, ditemui tidak sedarkan diri dalam keadaan terlangkup dalam buaian oleh pengasuhnya, 50-an, sebelum dibawa ke klinik berhampiran untuk pemeriksaan.

Nur Syazwanie berkata, dia dimaklumkan mengenai kejadian ketika berada di tempat kerja di Kuala Lumpur pada 11.40 pagi sebelum dia dan suami Muhammad Syafiq Mohd Salleh, 27, bergegas ke klinik terbabit.

Katanya, pengurusan klinik berkenaan merujuk kes ke Hospital Sungai Buloh apabila tidak dapat mengesan denyutan nadi bayi lelakinya.

“Pengasuh wanita bersama anak perempuannya berusia 30-an memaklumkan mereka menemui Mikhael dalam keadaan terlangkup dan badannya pucat di dalam buaian.

“Dia (pengasuh) mendakwa selepas memandikan Mikhael, dia meletakkannya di dalam buaian untuk ditidurkan, tetapi dia kemudaian melihat anak saya tidak sedarkan diri dalam keadaan terlangkup pada 11 pagi.

“Ketika itu pengasuh mendapati anak saya sudah tidak bergerak, manakala badannya sejuk," katanya ketika ditemui di rumahnya di Bandar Seri Coalfields, Sungai Buloh, hari ini.

Nur Syazwanie berkata, sebaik tiba di Unit Kecemasan Hospital Sungai Buloh, doktor mengesahkan Mikhael sudah meninggal dunia sebelum mayatnya dibawa ke Jabatan Forensik hospital sama untuk bedah siasat.

“Saya cuma terkilan apabila pengasuh tidak perasan yang anak saya berada dalam terlangkup di dalam buaian itu sebab ia merbahaya kepada bayi, tambah pula dia turut menjaga empat kanak-kanak lain termasuk anak sulung, Melissa Sofea, 3.

“Di rumah, Mikhael memang tidur dalam keadaan mengiring atau terlangkup, namun dia tidak tidur di dalam buaian. Malah, pengasuh pernah meminta kebenaran untuk menidurkan anak saya dalam buaian dan saya benarkan dengan syarat dia sentiasa memerhatikannya kerana Mikhael tidak biasa.

“Kedua-dua anak kami baru saja dihantar ke rumah pengasuh terbabit sejak dua bulan lalu kerana tiada siapa menjaga mereka ketika saya dan suami keluar bekerja,” katanya.

Menurutnya, dia membuat laporan di pondok polis Hospital Sungai Buloh selepas doktor yang merawat Mikhael memintanya berbuat demikian untuk tindakan lanjut.

Katanya, hasil laporan awal mendapati Mikhael meninggal dunia akibat banyak lendiran dalam paru-paru menyebabkan dia mengalami kesukaran bernafas.

“Namun, pihak hospital memaklumkan masih menunggu laporan penuh bedah siasat yang dijangka mengambil masa lebih sebulan,” katanya.

Katanya, dia sedih dengan pemergian anak bongsunya kerana sudah membuat segala persiapan untuk Mikhael termasuk membeli dua baju Melayu bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri nanti.

“Bagaimanapun, saya sudah memaafkan pengasuh Mikhael dengan berjumpa selain berbincang dari hati ke hati dengannya,” katanya.

Disiarkan pada: April 10, 2018 @ 8:56pm
d