utama

Dagu terbelah akibat tali tangsi..?

Oleh Mohd Hasbi Sidek

LELAKI menerima 25 jahitan pada dagu selepas terkena tali tangsi ketika menunggang motosikal di Lebuhraya Sistem Penyuraian Kuala Lumpur Barat Sdn Bhd (SPRINT) berhampiran di Kampung Kayu Ara, Petaling Jaya, semalam.

Dalam kejadian pada 5 petang itu, mangsa, 25, yang bekerja sebagai penghantar makanan dalam perjalanan menghantar makanan kepada pelanggan berhampiran Glomac Damansara, Jalan Damansara.

Sumber berkata, mangsa dipercayai terlanggar seutas tali tangsi yang merentang di tengah jalan menyebabkannya cedera pada dagu lalu mendapatkan rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

“Ketika menunggang motosikal dari arah Persiaran Tropicana menghala ke Glomac Damansara melalui Lebuhraya SPRINT, lelaki berkenaan terlanggar seutas tali tangsi sebaik tiba di lokasi.

“Tali berkenaan terkena pada dagu dan leher mangsa sebelum dia menerima rawatan di PPUM. Mangsa menerima 25 jahitan akibat luka," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, pihaknya masih menjalankan siasatan berhubung kewujudan tali tangsi berkenaan sama ada ia berunsurkan perbuatan khianat atau sebaliknya.

Hari ini, tular di laman sosial Facebook mendakwa seorang penghantar makanan mengalami luka akibat terlanggar tali tangsi.

Dalam satu gambar yang tular memaklumkan penghantar makanan itu baru sahaja membuat penghataran di satu lokasi sebelum terkena tali tangsi yang merentang di tengah-tengah lebuh raya.

Difahamkan, terdapat kediaman penduduk di sebelah lebuh raya berkenaan.

Sementara itu, majikan pekerja berkenaan yang memuat naik gambar mengenai kejadian itu enggan mengulas lanjut.

Disiarkan pada: April 10, 2018 @ 10:24pm
d