utama

Tak mahu hak orang

Oleh Michelle Gun

Sering didekati lelaki, pelakon cantik Risteena Munim tetap dengan pendiriannya untuk tidak memilih suami orang sebagai pasangan hidup.

Menurut Risteena, 28, dia tidak suka apabila lelaki yang sudah berumah tangga menghampirinya.

“Saya tidak berminat untuk bercinta dengan lelaki berstatus suami orang. Memang ada yang mahu berkenalan tetapi saya mengelak,” katanya yang dilantik sebagai Pengarah Urusan syarikat Cantik Dara Sdn Bhd baru-baru ini.

Namun, Risteena yang kini belum mempunyai kekasih tidak mengecam atau memandang serong wanita yang berkahwin dengan suami orang.

“Itu jodoh dia. Bagi saya, kita tidak boleh menghalang suami orang daripada berkahwin lain. Dalam Islam, lelaki boleh berkahwin empat jika mampu.

“Namun, itu bukan pilihan saya dan berharap Allah tidak mempertemukan saya dengan pasangan hidup yang begitu,” katanya.

Pelakon drama Playboy Itu Suami Aku itu memberitahu mahu mencari pasangan yang baik dan bukan jenis kaki perempuan.

“Saya tidak meletakkan syarat tinggi terhadap bakal suami, cuma mahu dia setia dan baik hati. Tidak kisah kalau dia tidak dapat memberi kemewahan.

“Seandainya jodoh saya dengan artis atau ahli perniagaan, saya tidak akan tolak. Doakan yang terbaik untuk saya,” katanya.

Ujar kakak kepada pelakon Ruhainies itu lagi, buat masa ini, dia mahu fokus terhadap karier seni dan perniagaan produk kecantikkan.

“Walaupun tidak meletakkan sasaran bila akan kahwin, saya tidak putus berdoa dipertemukan dengan lelaki terbaik,” katanya.

Dalam pada itu, Risteena memberitahu menggunakan wang hasil lakonannya sepanjang lima tahun sebagai modal perniagaan.

“Ini pengalaman pertama menceburi dunia perniagaan dan saya tidak pasti sejauh mana produk ini boleh berjaya.

“Namun, saya perlu mencuba dulu dan menyerahkan rezeki kepada Tuhan,” katanya.

Risteena mengakui menjadi pelakon ada pasang surutnya dan kerana itu nekad menceburi bidang perniagaan bagi memastikan masa depannya lebih terjamin.

“Saya tidak tahu sampai bila akan ada tawaran berlakon. Sementara orang masih mengenali saya, lebih baik menggunakan peluang ini untuk berniaga,” katanya.

Disiarkan pada: April 11, 2018 @ 6:48am
d