utama

Pengalaman cinta beri inspirasi

Oleh Sudirman Mohd Tahir

Populariti kumpulan Forteen berjaya membawa semua anggotanya, Izzue Islam, One, Amir dan Ariz Lufias melangkah lebih jauh dalam arena seni tanah air.

Sepanjang tujuh tahun penubuhan kumpulan itu, Forteen merangkul pelbagai anugerah malah mereka menjadi kegilaan anak muda sehingga sekarang.

Tidak hanya bercita-cita menjadi kumpulan vokal terbaik, setiap anggota kumpulan itu turut memasang impian untuk berjaya sebagai penyanyi solo.

Jika sebelum ini Izzue, One dan Amir tampil dengan single masing-masing, kini tiba giliran Ariz atau Saiful Ridzuan Abdul Hamid, 29, muncul dengan single Pergi berentak moderate pop yang dilancarkan 5 Mac lalu.

Meskipun menjadi anggota terakhir yang merakamkan lagu solo, Ariz yang juga pelakon drama Tak Beli Tak Cinta tetap optimis dengan apa dilakukan.

Bagi Ariz, kemunculannya secara solo bukan kerana mahu bersaing dengan rakan lain sebaliknya ingin berkongsi bakat sebagai komposer lagu.

“Selepas tujuh tahun bersama Forteen, saya jadi anggota terakhir yang muncul dengan single solo. Alhamdulillah, lagu ciptaan saya pada 2015 akhirnya dapat dirakam dan dilancarkan secara rasmi.

“Menulis lagu ini sekadar suka-suka. Namun, apabila saya perdengarkan kepada rakan, mereka memberikan maklum balas positif dan mencadangkan saya merakamkan lagu ini. Namun, ketika itu saya sibuk dengan kerjaya lakonan.

“Jadi, saya tangguhkan hasrat itu hingga Februari tahun lalu baru lagu ini dapat dirakam. Sejujurnya, saya teruja dan gembira apabila buah tangan pertama diperdengarkan kepada peminat,” katanya.

Menariknya, lagu ciptaan sepenuhnya Ariz itu diinspirasikan daripada kisah benar percintaannya dengan bekas kekasih.

Ariz berkata, disebabkan dia tidak pandai memujuk dan masalah sama berulang dalam perhubungannya membuatkan dia ambil keputusan pergi membawa diri.

“Dalam perhubungan, saya gagal memujuk pasangan. Malah, itu hakikat yang perlu dilalui sepanjang saya bercinta. Saya okey untuk memujuk, tetapi jika sering bercakap dan masalah sama berulang, saya malas.

“Jadi, untuk tidak membiarkan hubungan terus hambar jalan terbaik adalah berpisah. Saya jadikan pengalaman yang dilalui sebagai jalan cerita lagu ini,” katanya.

Bagaimanapun, Ariz mengakui penghasilan lagu itu bukan tiket untuknya terus mendedahkan kisah peribadi terutama sejarah percintaan kepada umum.

Sebaliknya, Ariz masih berpegang teguh kepada prinsip yang kerjaya dan peribadi dua perkara berbeza.

“Menerusi lagu ini saya berkongi apa dirasai. Malah, selama ini pun saya tidak pernah berahsia apa-apa. Cuma, jika membabitkan peribadi saya selesa untuk mengunci rapat mulut. Dalam erti kata lain, biarlah ia disimpan sikit tanpa perlu dikongsi sepenuhnya.

“Apa boleh dikatakan, saya baru putus cinta awal tahun ini. Jadi, sekarang saya kembali solo. Selebihnya biarlah ia jadi rahsia peribadi saya. Mengenai hubungan dengan Zulin, macam pernah dinyatakan sebelum ini kami hanya kawan,” katanya.

Single seterusnya

Berkongsi mengenai koleksi lagu ciptaannya, menurut Ariz dia sudah menghasilkan lebih 10 lagu.

Pada masa sama, Ariz juga sedia mendapatkan khidmat komposer lain untuk single solo seterusnya.

“Insya-Allah, jika lagu ini mendapat sambutan saya merancang muncul dengan single kedua. Kalau bukan daripada lagu sendiri, mungkin lagu komposer lain. Saya tidak mahu syok sendiri.

“Kalau ada rezeki, saya juga ingin koleksi lagu ciptaan sedia ada diberikan kepada penyanyi lain. Saya menyasarkan penyanyi baru. Cuma, saya tidak boleh main bagi saja kerana perlu mendengar kesesuaian vokal mereka,” katanya.

Forteen masih ada

Pembabitan solo Ariz itu sekali gus menimbulkan pertanyaan adakah Forteen masih wujud. Apatah lagi, ketika ini semua anggota aktif dalam kerjaya solo masing-masing.

“Forteen masih ada. Dua minggu lalu kami baru saja menjayakan persembahan bersama. Cuma kebanyakan tawaran diterima lebih kepada majlis korporat.

“Malah, apabila saya muncul dengan lagu ini, ramai tanya mengenai Forteen. Mungkin sebab kami tidak ada lagu baru dan jarang muncul di kaca TV membuatkan timbul persepsi ini.

“Persoalan ini bukan baru pertama kali, tetapi sering diajukan selepas Izzue aktif bergerak secara solo. Insya-Allah kami alam perancangan menghasilkan lagu baru. Kali terakhir kami muncul dengan lagu Apa Ini Cinta tahun lalu,” katanya.

Pada masa sama, Ariz berkongsi Forteen kini bergerak sendiri tanpa diuruskan pihak KRU Music lagi.

Disiarkan pada: April 11, 2018 @ 6:58am
d