utama

Realisasikan angan-angan

Oleh Ardini Sophia Sina

Terus melakar kanvas seni, pelakon Afifah Nasir tidak pernah tewas dengan kontroversi yang melanda dirinya. Malah, wanita itu menjadikan kejadian berkenaan sebagai iktibar agar tidak berulang.

Wanita berusia 25 tahun ini rasa bersyukur kerana semua itu berlaku pada awal pembabitannya bergelar anak seni. Perkara itu mengajarnya untuk lebih berhati-hati dan cekal berhadapan kecaman netizen.

Walaupun masih dalam proses menimba ilmu, dia sedia maklum dengan ‘permainan’ dan ‘sepak terajang’ industri yang tak lekang dengan kritikan apatah lagi dengan kewujudan media sosial.

“Apa yang berlaku sebelum ini mengajar saya untuk lebih berhati-hati pada masa akan datang. Walaupun terpalit kontroversi, saya lega kerana rezeki masih ada.

“Produser dan pengarah juga tidak melihat isu itu sebagai satu masalah besar. Mereka tahu sikap saya dan rutin kerjaya sebagai pelakon berjalan lancar seperti biasa.

“Biarlah orang mahu cakap apa pun, saya tidak boleh tutup mulut mereka. Lagipun, saya sendiri yang memilih jadi pelakon. Jadi kenalah hadap segala kecaman dan kritikan dengan hati terbuka,” katanya.

Sebelum bergelar pelakon, hati Afifah terlebih dahulu terpaut pada dunia nyanyian. Dia sebenarnya memasang impian untuk mengasah bakat sebagai penyanyi dan muncul dengan lagu sendiri.

Bagaimanapun, rezeki lakonan yang tiba dulu. Menerima peluang itu dengan penuh syukur, pelakon drama Pengantinku Jatuh Dari Langit itu mengatur langkah dengan yakin.

Selepas lama berharap, Afifah kini mampu tersenyum kerana angan-angan bergelar penyanyi bakal direalisasikan. Lagu pertama berjudul Kasturi Rindu bakal dilancarkan selepas Aidilfitri nanti.

“Saya minat menyanyi sejak kecil tapi lakonan datang lebih awal. Ia jadi pembuka jalan untuk saya masuk ke dalam industri seni tanah air. Walaupun sibuk berlakon, saya tidak pernah lupakan hasrat untuk muncul dengan lagu sendiri.

“Mana-mana peminat yang rapat dengan saya tahu saya suka menyanyi. Malah, mereka pernah mencadangkan agar saya tampil dengan lagu sendiri.

“Terima kasih di atas sokongan dan kata-kata semangat yang diberikan,” katanya riang.

Menurut Afifah lagu bergenre pop balada itu dihasilkan oleh Dr Irama sepenuhnya dan dia sekadar menghantar nyanyiannya menerusi nota suara aplikasi WhatsApp bagi memperdengarkan vokalnya kepada komposer itu.

Selepas itu, barulah dia bertemu penggubah lagu bagi proses seterusnya. Mengakui gementar dengan penerimaan umum, Afifah bagaimanapun enggan terlalu memikirkan reaksi pendengar terhadap lagu itu.

Kata Afifah, dia turut menerima tawaran membintangi filem namun masih di peringkat perbincangan dan belum ada kata putus.

Sedia untuk kahwin

Sama seperti pasangan bercinta lain, Afifah turut menyimpan hasrat untuk bergelar isteri. Katanya, meski sudah bersedia menggalas tanggungjawab itu, dia tidak akan sesekali mendesak pasangannya untuk ke arah itu.

Baginya, paling penting adalah memberikan masa buat diri sendiri untuk mengukuhkan kewangan terlebih dahulu.

Dia tidak mahu menggunakan wang ibu bapa untuk melangsungkan majlis pernikahannya nanti.

“Saya individu yang ‘go with the flow’. Kalau esok dia hantar rombongan meminang pun saya akan setuju. Saya sudah sedia tetapi ada beberapa perkara yang perlu diperkukuhkan terlebih dahulu.

“Sudah tentulah perkara pertama yang perlu diberi perhatian adalah kewangan. Saya tidak mahu menyusahkan keluarga.

“Walaupun sudah bersedia bergelar isteri, saya tidak akan mendesak pasangan untuk berkahwin dalam masa terdekat. Semuanya memerlukan perancangan yang rapi,” katanya.

Tidak meletakkan sebarang sasaran usia untuk menamatkan zaman bujang, Afifah setia menantikan saat dia diijabkabulkan dengan kekasih hatinya, Wan Ariff Azhar.

Disiarkan pada: April 12, 2018 @ 8:36am
d