utama

Kevin kini di bawah pengawasan

Oleh Georgie Joseph

Kevin Spacey, 58, kini di bawah pengawasan Pejabat Peguam Wilayah Los Angeles berhubung tuduhan kesalahan seksual yang pernah dilakukannya pada 1992.

Jurucakap pihak berkuasa itu menyebut dalam kenyataan kes berkenaan membabitkan lelaki dewasa yang menjadi mangsa seksual pelakon terbabit.

Menurutnya, siasatan terperinci berhubung kes itu sudah dimulakan sejak Disember tahun lalu dan keputusan siasatan baru disampaikan kepada pihak peguam minggu lalu.

Lima bulan lalu, pelakon drama House of Cards disingkirkan daripada projek berkenaan selepas tuduhan berkenaan dilakukan terhadapnya.

“Satu kes sudah disampaikan pada 5 April lalu oleh bahagian syerif wilayah Los Angeles. Sekarang kes itu sedang dalam pemantauan,” kata jurucakap pihak peguam terbabit.

Bagaimanapun, jurucakap pelakon itu, Laura Johnson menolak untuk memberi sebarang komen.

Walaupun ia membabitkan serangan seksual terhadap mangsa lelaki, butiran terperinci mengenai kes berkenaan tidak didedahkan.

Setakat ini, lebih 30 lelaki mendakwa menjadi mangsa perlakuan seksual tanpa kerelaan oleh Kevin yang juga antara selebriti paling berpengaruh di Hollywood.

Segala tuduhan terbabit berlaku selepas kes penerbit filem Harvey Weinstein dituduh melakukan pelbagai kesalahan seksual dan ramai mangsa tampil sehingga pergerakan #MeToo dibuat.

Nama Kevin terus menjadi sebutan dan mencetuskan kontroversi selepas pelakon Anthony Rapp menuduh Kevin pernah menggodanya ketika dia baru berusia 14 tahun.

Disebabkan kontroversi itu, Kevin digugurkan daripada membintangi musim terakhir iaitu keenam siri House of Cards selain wataknya dipadam dalam filem All The Money In The World.

Disiarkan pada: April 13, 2018 @ 4:36am
d