utama

Buang ego untuk menangis

Oleh Sudirman Mohd Tahir

Populariti dikecapi pelakon Hafidz Roshdi membawa namanya terus relevan sehingga sekarang walaupun kemunculan pelakon baru bersilih ganti.

Biarpun lakonannya menerusi drama Tundukkan Playboy Itu dua tahun lalu sebagai ‘kayu’, Hafidz, 24, atau nama sebenarnya Muhammad Hafidz Roshdi bangkit dan jadikan perkara itu cabaran untuk berubah.

Buktinya, satu persatu drama lakonan Hafidz selepas itu berjaya diterima baik dan lebih menggembirakan apabila lakonannya mendapat pujian ramai.

Sejak itu, Hafidz yang juga finalis Hero Remaja 2012 menjadi pilihan penerbit dan stesen TV untuk menawarkannya watak utama.

Tidak mensia-siakan peluang diberi, Hafidz cuba menyuntik kelainan dalam setiap lakonannya. Dia mahu mencuba semua watak agar penonton tidak bosan.

Sehubungan itu, tawaran membintangi drama Kelip Kelip Kota London terbitan Zeel Production yang ditayangkan menerusi slot Zehra di TV3 peluang keemasan untuk Hafidz membuktikan bakat lakonan sebenar.

Hafidz mengakui drama arahan Murali Abdullah itu cukup menguji dirinya terutama dalam penjiwaan watak. Malah, drama itu disifatkan antara yang sukar pernah dilakonkan.

“Masa mula-mula dikritik lakonan ‘kayu’, saya tidak melatah atau putus asa. Saya ambil ia sebagai cabaran untuk memajukan diri. Malah, saya terima setiap komen dengan hati terbuka. Namun, kalau sekarang dapat kritikan sama, saya akan terasa sebab rasanya sudah berusaha berikan yang terbaik.

“Saya berterima kasih kepada Syafie Naswip kerana dia banyak bantu dari segi penghayatan bagi mendapatkan rasa dalam lakonan. Saya gunakan tunjuk ajar diberikan dalam setiap watak. Alhamdulillah, untuk drama ini saya berjaya buat. Maklum balas diterima semuanya puji penjiwaan watak Shaufiq.

“Ini kali pertama saya bawa watak berat yang memerlukan bermain emosi dan banyak menangis. Sebelum ini, susah nak tengok saya menangis dalam cerita lain. Ada watak berat, tapi tidak seperti dalam drama ini,” katanya.

Menurut Hafidz, babak menangis paling susah kerana jarang dalam mana-mana drama pelakon lelaki diberikan banyak babak begitu.

Hafidz berkata, dia okey dan tidak ada masalah kerana beranggapan watak hero tidak semestinya digambarkan kuat, ‘macho’ dan ‘cool’ saja.

“Bagi saya, sebagai pelakon perlu buang sikap ego untuk tidak menangis. Secara realitinya pun, segagah mana lelaki itu, air matanya akan tumpah juga jika berlaku perkara menyedihkan atau musibah menimpa dirinya.

“Saya juga manusia biasa, tipu kalau tidak pernah menangis. Jadi, apabila dalam lakonan kenapa tidak boleh menangis? Bagaimanapun, ia bergantung kepada watak. Diakui penat bawa watak ini, tetapi saya puas dengan hasil apatah lagi mendapat maklum balas positif daripada penonton,” katanya.

Badi kahwin dua?

Melakonkan watak lelaki yang mengamalkan poligami dalam perkahwinan, Hafidz tidak perlu bimbang atau beranggapan ia bakal menjadi badi dalam dirinya.

“Saya tidak terfikir ke arah itu. Ini adalah watak dan rekaan semata-mata dalam drama. Walaupun secara realiti wujud watak sebegini, saya hanya pelakon yang menghidupkan watak terbabit.

“Buat masa sekarang, saya masih tahu batas dalam pergaulan. Saya masih rasional dan dapat bezakan lakonan dan alam nyata. Lagipun, menjadi tanggungjawab pelakon untuk menjayakan watak diberi.

“Setiap watak dalam lakonan, saya tidak campur dalam kehidupan sebenar. Sesuatu watak hanya hidup di set penggambaran. Di luar, saya menjadi diri semula,” katanya.

Berkongsi mengenai kehidupan dengan isteri, Nurul Shuhada Mat Shukri, Hafidz mengakui dia bahagia ditambah kehadiran puteri mereka, Humairah yang kini berusia tujuh bulan.

“Sekarang anak seperti kekasih saya. Dia sangat manja dengan saya. Dia sudah pandai, kalau saya nak keluar bekerja dia buat muka kasihan. Dia sudah faham.

“Buat masa sekarang, biarlah saya dan isteri membesarkannya dengan penuh kasih sayang. Kalau Allah berikan rezeki anak kedua, saya terima. Cuma, kami tidak pernah merancang,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Hafidz terbabit dalam penggambaran drama bersiri 100 episod, Cinta Tiada Ganti bagi tayangan Astro Prima.

Drama adaptasi daripada telenovela popular Filipina itu menampilkan pelakon hebat lain seperti Nelydia Senrose dan Aedy Ashraf.

“Alhamdulillah, ini dikatakan rezeki. Ini kali pertama saya berlakon siri panjang. Saya memang sudah lama nak cuba. Apabila ditawarkan, saya terus terima biarpun pada awalnya tawaran diberi drama lain.

“Saya okey dan tidak ada masalah. Drama ini bakal menjalani penggambaran selama lapan bulan. Pendek kata, saya tidak perlu risau soal pendapatan. Orang kata, bayaran diterima boleh ‘cover’ banyak perkara,” katanya.

Disiarkan pada: April 13, 2018 @ 4:46am
d