utama

Dahaga oksigen

Oleh Noorazura Abdul Rahman

Alor Setar: Ketika kanak-kanak seusianya semakin aktif dan lasak, Harraz Naufal Muhamad Noor Shuhada yang baru berusia dua tahun pula berbeza keadaannya kerana pergerakannya terbatas kerana menderita masalah injap jantung sempit.

Walaupun sudah dua kali melakukan pembedahan pada 2016 dan Februari lalu, penyakitnya yang dikesan sejak dia berusia dua bulan belum pulih sepenuhnya.

Si kecil itu juga perlu menjalani pembedahan ketiga dengan kos dianggarkan mencecah RM50,000.

Bagaimanapun, kesempitan hidup menyebabkan ibu bapanya Muhamad Noor Shuhada Yusof, 38, dan Nor Shuhada Abdullah, 30, kini buntu untuk mencari wang bagi membiayai kos pembedahan yang dijangka dijalankan pada Jun depan berikutan tiada wang simpanan.

Nor Shuhada berkata, anaknya mula dikesan menghadapi masalah injap sempit pada usia dua bulan hingga sukar menjalani kehidupan seperti kanak-kanak biasa.

“Suami saya mengambil upah menoreh getah, hasil jualan getah akan dibahagikan dua kepada pemilik kebun dan setiap bulan dia memperoleh pendapatan RM500.

“Saya pula tidak boleh bekerja memandangkan Harraz memerlukan penjagaan rapi kerana sukar bernafas selain terpaksa minum susu menggunakan tiub melalui saluran hidung berikutan tidak mampu menghisap dan menelan makanan akibat penyakitnya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Sungai Durian, Pokok Sena di sini.

Ibu kepada dua anak itu berkata, sebagai alternatif bagi memudahkan Harraz bernafas, doktor akan melakukan pembedahan di bahagian saluran jantung (glenn shunt) supaya badannya dapat menerima oksigen yang cukup.

Menurutnya, pendapatan dan simpanan yang ada digunakan untuk menampung kos perjalanan ke Hospital Pulau Pinang (HPP) dan Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) setiap bulan.

“Sekiranya keadaannya tidak stabil, anak saya terpaksa dirujuk ke Institut Jantung Negara (IJN) Kuala Lumpur.

“Sekarang kami terpaksa mengharapkan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 sebulan bagi membeli susu dan lampin pakai buang.

“Saya sangat berharap orang ramai dapat membantu memberi sumbangan untuk menampung kos pembedahan anak kami,” katanya.

Mereka yang ingin membantu Muhamad Noor
Shuhada boleh menghubunginya di talian 012-5654827 atau membuat sumbangan ke akaun Maybank, 152023459906.

Disiarkan pada: April 13, 2018 @ 6:57am
d